PARLIMEN: Pangkalan data khas kesan aktiviti perlombongan bitcoin

PARLIMEN: Pangkalan data khas kesan aktiviti perlombongan bitcoin

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mewujudkan satu pangkalan data khas yang menyimpan rekod lengkap pemilik dan penyewa premis disyaki terlibat dalam kecurian elektrik berkaitan aktiviti perlombongan mata wang kripto khususnya bitcoin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pangkalan data tersebut memainkan peranan sebagai rujukan dalaman untuk mengenal pasti dan memantau premis mencurigakan sekali gus menjadi asas kepada pelaksanaan operasi pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Bagi mengekang dan membanteras kes kecurian elektrik yang melibatkan aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram, operasi bersepadu sentiasa dilaksanakan bersama agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH–Petaling Jaya) mengenai langkah kerajaan memperluaskan pemasangan sistem pemantauan SCADA di kawasan perumahan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas (hotspot) bagi aktiviti kecurian elektrik.

Menurut Fadillah, antara pendekatan teknikal digunakan adalah Projek Perintis Distribution Transformer Meter (DTM) yang dipasang di pencawang pembahagian bagi mengesan corak penggunaan tenaga luar biasa serta jurang tenaga yang menunjukkan kemungkinan wujudnya aktiviti kecurian elektrik.

“DTM merekod jumlah tenaga yang keluar dari pencawang dan data ini kemudian dibandingkan dengan bacaan meter pengguna. Sekiranya wujud jurang ketara, ia boleh menjadi indikator kepada kehilangan tenaga bukan teknikal seperti sambungan haram oleh sindiket perlombongan Bitcoin.

“DTM merupakan sistem pengesanan khusus berkesan di peringkat pengagihan, berbeza dengan Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA) yang berfungsi memantau dan mengawal keseluruhan operasi grid di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, sehingga kini lebih 4.5 juta meter pintar telah dipasang membolehkan pemantauan penggunaan tenaga secara masa nyata (real-time) sekali gus memudahkan pengesanan awal terhadap sebarang gangguan atau manipulasi terhadap meter.

“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air,, Suruhanjaya Tenaga serta TNB kekal komited dalam usaha membanteras sebarang bentuk pengusikan meter dan penggunaan bekalan elektrik secara haram yang mampu mengancam keselamatan awam, merosakkan harta benda serta menjejaskan kestabilan ekonomi dan sistem bekalan tenaga negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN