PARLIMEN: Malaysia terus desak hadkan kuasa veto PBB 

PARLIMEN: Malaysia terus desak hadkan kuasa veto PBB 

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi akan membawa usul reformasi terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengehadkan penggunaan kuasa veto dalam situasi melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan bencana kemanusiaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu akan diketengahkan semasa Perhimpunan Agung PBB akan datang, sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia membela rakyat Palestin di Gaza yang terus berada di bawah kepungan dan berdepan risiko kebuluran.

“Ini satu perkara yang seluruh dunia sekarang mengutuk rejim Israel. Tapi malangnya, walaupun kita ada suara dan sokongan majoriti dalam Perhimpunan Khas Bangsa-Bangsa Bersatu di peringkat Majlis Keselamatan, ia tetap diveto oleh rakan baik mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) minta berhubung usaha dan ikhtiar terkini Kerajaan bagi membela nasib umat Islam Gaza yang sedang terseksa kebuluran akibat perang berpanjangan oleh rejim Zionis Israel dan kegagalan seluruh dunia untuk menghentikan kezaliman ini.

Menurut Mohamad, Malaysia sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan tersebut di Majlis Keselamatan PBB dan akan terus mendesak agar anggota tetap tidak boleh sewenang-wenangnya menghalang sebarang resolusi melibatkan penderitaan besar-besaran orang awam.

“Pada Perhimpunan Agung PBB yang akan datang, kita akan bawa sekali lagi perkara ini agar kuasa veto ini dihadkan dan tidak digunakan sesuka hati,” katanya.

Mohamad berkata, selain mengehadkan kuasa veto, Malaysia turut mencadangkan agar keanggotaan Majlis Keselamatan diperluaskan dengan menambah lebih banyak wakil bukan tetap dari wilayah yang kurang diwakili.

“Kita cadangkan penambahan ahli bukan tetap daripada blok-blok seperti Asia, Afrika dan Amerika Selatan agar lebih seimbang,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, inisiatif tersebut kini mendapat sokongan positif daripada banyak negara yang berkongsi pendirian dan nilai yang sama dengan Malaysia.

“Ini sedang kita usahakan dan ia mendapat sambutan yang baik daripada negara-negara yang sepemikiran,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN