PARLIMEN: Lebih 64,000 peminjam selesai hutang

PARLIMEN: Lebih 64,000 peminjam selesai hutang

LIM Hui Ying ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terus membuahkan hasil apabila berjaya membantu lebih 64,000 peminjam menyelesaikan pinjaman mereka sepenuhnya melalui Program Pengurusan Kredit.

Selain itu, hampir 270,000 peserta masih aktif menjalani proses pemulihan kewangan dengan mengikuti program yang disediakan AKPK, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menangani masalah hutang dan mengurus kewangan secara berhemah.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, AKPK merupakan antara inisiatif kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan ketahanan kewangan isi rumah, selain menjadi intervensi utama untuk mengelakkan pengguna daripada terus terjerumus dalam kitaran hutang tidak terkawal.

“Langkah-langkah ini dilaksanakan sebagai respons kepada cabaran kewangan isi rumah, termasuk peningkatan penggunaan perkhidmatan kredit seperti ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) yang jika tidak dikawal boleh meningkatkan risiko kewangan,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) berkenaan pelan kawal selia perkhidmatan kredit dan usaha membantu pengguna yang berdepan risiko hutang melebihi kemampuan.

Hui Ying berkata, pinjaman yang diluluskan oleh institusi kewangan adalah tertakluk kepada Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh BNM sejak 2012.

Katanya, langkah ini memastikan nisbah khidmat hutang (DSR) rakyat kekal di paras sihat.

“DSR terkini mencatat median 34 peratus bagi pinjaman terkumpul dan 41 peratus bagi pinjaman baharu, menunjukkan daya tahan kewangan isi rumah masih terpelihara,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan turut mengambil maklum perkembangan pesat skim BNPL dan telah meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) pada 21 Julai lalu bagi memperkukuh perlindungan pengguna.

“RUUKP akan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan menyeluruh ke atas penyedia kredit bukan bank yang sebelum ini tidak tertakluk kepada pengawasan undang-undang, termasuk penyedia perkhidmatan BNPL.

“Dalam usaha jangka panjang, kerajaan melalui BNM juga meneruskan inisiatif pendidikan kewangan melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang pengurusan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN