PARLIMEN: Krisis Myanmar ibarat 'duri dalam daging' bagi ASEAN

PARLIMEN: Krisis Myanmar ibarat ‘duri dalam daging’ bagi ASEAN

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Krisis Myanmar kekal menjadi cabaran terbesar dan ujian terhadap keteguhan prinsip perpaduan serta kepusatan ASEAN yang disifatkan sebagai ‘duri dalam daging’ kepada blok serantau tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun ASEAN sentiasa menjadi pendokong keamanan dan hak asasi manusia, krisis yang berlarutan di Myanmar telah mencabar kredibiliti ASEAN di mata dunia.

“Kita tidak menafikan isu Myanmar ibarat ‘duri dalam daging’. Di saat ASEAN mengangkat prinsip keamanan dan kemanusiaan, kita diuji di halaman sendiri dengan konflik yang tidak berkesudahan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung sejauh manakah Malaysia berpuas hati dengan pencapaian dasar luar negara sepanjang tempoh Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN terutama dalam aspek mengukuhkan perpaduan dan kepusatan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.

Jelas beliau, Malaysia telah mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu ini termasuk mengadakan rundingan dengan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar serta mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, antara perkara utama yang dibangkitkan dalam pertemuan itu termasuk desakan pembebasan tahanan politik, pelaksanaan gencatan senjata menyeluruh serta akses tanpa halangan terhadap bantuan kemanusiaan,” jelasnya.

“Semua tuntutan tersebut terkandung dalam Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui bersama oleh negara-negara anggota ASEAN.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif bagi memastikan konsensus ini dilaksanakan, agar keamanan dan kestabilan dapat dipulihkan di Myanmar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, fokus Malaysia semasa kepengerusian ASEAN 2025 tidak hanya terhad kepada aspek politik dan keselamatan serantau, malah turut menekankan pengukuhan kerjasama ekonomi antara negara-negara anggota.

“Ketika ini, perdagangan intra-ASEAN masih rendah, hanya sekitar 25 peratus. Kita ingin meningkatkan kadar ini kepada sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus bagi mengurangkan kebergantungan terhadap rakan dagang luar yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi sekiranya berlaku krisis,” ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia mahu menjadikan ASEAN sebagai satu entiti ekonomi yang berdaya tahan, tersendiri dan saling melengkapi antara satu sama lain.

“ASEAN mempunyai potensi besar dari segi tenaga kerja, sumber asli dan pasaran yang luas. Kita tidak boleh terus bergantung kepada negara luar. Kerjasama ekonomi dalaman ASEAN perlu diperkukuh agar rantau ini lebih mampan menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, semakin banyak negara luar kini menunjukkan minat untuk menjadi rakan dialog ASEAN selaras dengan peranan dan pengaruh yang semakin kukuh dimiliki blok serantau itu di peringkat global.

Setakat ini, ASEAN mempunyai 11 rakan dialog rasmi termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, China dan Rusia.

“Mereka ini perlu menandatangani perjanjian atau triti kemanan dan persahabatan. Itu pun banyak baru-baru ini kita telah menandatangani, antaranya Algeria dan Uruguay.

“Pada sesi Sidang Kemuncak ke-47 ini, ada tiga buah lagi iaitu Itali, Sweden dan Lithuania akan menandatangani perjanjian ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN