KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meningkatkan pengambilan jururawat pelatih kepada 3,000 orang setahun bermula 2025 berbanding hanya 1,000 orang pada 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pengambilan tersebut akan diteruskan sehingga jumlah jururawat terlatih mencapai sasaran dan dapat memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan awam di seluruh negara.
“Langkah ini diambil selaras dengan keperluan semasa untuk memperkukuh sistem kesihatan negara terutama dalam penyampaian perkhidmatan di hospital dan klinik di bawah KKM,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang ingin mengetahui jumlah kolej kejururawatan kerajaan yang masih beroperasi dan jumlah graduan yang dihasilkan dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Dzulkefly, seramai 17,502 graduan jururawat dikeluarkan melalui program Diploma Kejururawatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) sepanjang tempoh 10 tahun dari 2014 hingga Januari 2025.
Katanya, KKM telah melakukan penjenamaan semula kolej latihan kepada ILKKM pada 2018 dan kini terdapat 33 ILKKM di seluruh negara yang merangkumi pelbagai bidang paramedik dan auksiliari termasuk kejururawatan.
“Daripada jumlah itu, 22 ILKKM dikhususkan untuk bidang kejururawatan. Namun hasil penyusunan semula menerusi Pelan Integrasi dan Pengukuhan Tadbir Urus ILKKM yang bermula 2019, kini terdapat sembilan buah ILKKM dan tiga cawangan kejururawatan yang aktif,” ujarnya.
Selain itu, program Diploma Kejururawatan juga ditawarkan di lima lagi ILKKM lain termasuk di Sungai Buloh (Selangor), Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan ILKKM Sultan Azlan Shah di Perak.
Pada masa sama, sebanyak 10 buah ILKKM dalam bidang kejururawatan telah ditamatkan operasi dan fasilitinya telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN). – UTUSAN