Kenderaan perdagangan tiada SLD tidak boleh berada di jalan raya

PARLIMEN: Kenderaan perdagangan tiada SLD tidak boleh berada di jalan raya

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenderaan perdagangan tidak dilengkapi sistem Peranti Had Kelajuan (SLD) tidak akan dibenarkan berada di jalan raya apabila pelaksanaannya dikuatkuasakan secara berfasa bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan SLD merupakan langkah penting dalam usaha mengawal kelajuan kenderaan berat serta mengurangkan risiko kemalangan maut terutama melibatkan bas dan lori.

“Walaupun mungkin ada pihak industri yang memberikan maklum balas negatif dengan alasan kos tambahan, namun dari sudut keselamatan jalan raya, nyawa manusia jauh lebih bernilai.

“Saya berharap semua dapat menyokong usaha kerajaan agar pelaksanaan ini berjalan lancar. Apa jua tentangan harus ditangani dengan prinsip keselamatan lebih utama daripada kos dan keuntungan perniagaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang ingin tahu sama ada MOT bercadang mewajibkan pemasangan sistem ‘cut-off automatic’ pada bas atau lori bagi menghadkan kelajuan atau menghentikan kenderaan jika pemandu mengabaikan peraturan keselamatan.

Menurut Siew Fook, penguatkuasaan pemasangan SLD akan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 1 Oktober ini.

Fasa pertama bermula 1 Oktober 2025, melibatkan pengesahan fungsi SLD bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015.

Fasa kedua, bermula 1 Januari 2026 merangkumi pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bagi kenderaan perdagangan yang dibina sebelum tarikh tersebut.

Fasa ketiga akan bermula 1 Julai 2026 yang melibatkan pemasangan retrofit peranti SLD dengan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi sistem itu.

Siew Fook berkata, SLD merupakan sistem kawalan kelajuan elektronik yang mengehadkan kelajuan kenderaan melalui ECU, selari dengan matlamat untuk mengawal kelajuan tanpa mematikan enjin sepenuhnya, sekali gus menjamin keselamatan operasi kenderaan.

Katanya lagi, pelaksanaan SLD akan melibatkan semua kenderaan perdagangan, iaitu kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram dan kenderaan penumpang dengan BDM melebihi 5,000 kilogram serta membawa lebih lapan penumpang.

Menjawab soalan tambahan Fathul Huzir mengenai cadangan memperkenalkan sistem keselamatan tambahan seperti Automatic Emergency Braking (AEB), Electronic Stability Control (ESC), Real Time Monitoring System dan penggunaan kotak hitam, Siew Fook berkata, kementerian turut mempertimbangkan semua cadangan tersebut.

Katanya, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan sistem-sistem keselamatan ini dilakukan secara berperingkat dan teratur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN