PARLIMEN: Kaji semula keputusan tidak dakwa Firdaus Wong, Zamri Vinoth

PARLIMEN: Kaji semula keputusan tidak dakwa Firdaus Wong, Zamri Vinoth

FIRDAUS WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen berbangsa India menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menilai semula keputusan tidak mendakwa pendakwah Firdaus Wong dan Zamri Vinoth atas dakwaan menghina agama dan kaum, meskipun pelbagai bukti telah dikemukakan.

Dalam kenyataan bersama, keputusan itu secara objektif dan berlandaskan bukti yang telah tersedia demi memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara tidak terjejas.

“Kami menolak alasan tiada bukti mencukupi kerana banyak laporan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuat, malah terdapat bukti dalam bentuk video, kenyataan awam dan hantaran media sosial yang telah tersebar luas.

“Bahan-bahan ini jelas mengandungi unsur penghinaan dan hasutan yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama,” kata kenyataan itu.

Mereka berkata, keputusan untuk tidak mendakwa kedua-dua individu tersebut memberi gambaran wujud layanan berbeza terhadap pelaku tertentu sekali gus mencabar prinsip keadilan dan kesaksamaan undang-undang yang seharusnya dijunjung tinggi di negara ini.

“Undang-undang tidak boleh dilaksanakan secara terpilih. Apa jua bentuk penghinaan, kebencian atau hasutan terhadap mana-mana kaum dan agama mestilah ditangani dengan tegas dan adil, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” tegas mereka.

Mereka turut menzahirkan sokongan terhadap rakyat Malaysia khususnya masyarakat India yang berasa terhina dan tidak dilindungi apabila tindakan tegas tidak diambil terhadap pelaku.

“Kami akan terus bersuara dan berdiri bersama rakyat Malaysia dalam menuntut keadilan, penghormatan dan perlindungan yang saksama di bawah undang-undang,” katanya.

Mereka turut menegaskan bahawa kerajaan dan institusi perundangan tidak seharusnya berkompromi dalam isu-isu yang menyentuh keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

“Kami menyeru agar keputusan ini dikaji semula secara adil dan bebas daripada sebarang pengaruh politik atau tekanan luar, demi menjamin keyakinan rakyat terhadap prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tiada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebarang elemen kesalahan terhadap Zamri Vinoth dan Firdaus Wong di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bagi membolehkan mereka didakwa di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kertas siasatan terbabit telah dirujuk kepada AGC bagi mendapatkan arahan dan keputusan.

Katanya, kertas siasatan berkaitan aduan terhadap kedua-dua individu berkenaan telah dibuka oleh PDRM dan seterusnya dirujuk kepada AGC untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN