KUALA LUMPUR: Hasil kutipan daripada aktiviti import dan eksport elektrik konvensional akan dimasukkan ke dalam dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dana itu bertujuan menguruskan impak tarif elektrik agar tidak membebankan pengguna.
“Dana KWIE yang diperoleh daripada aktiviti perdagangan elektrik ini akan memastikan impak kenaikan tarif dapat dikawal dengan baik, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna elektrik di seluruh negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, kutipan hasil daripada aktiviti import dan eksport tenaga itu akan membantu mengimbangi kesan peningkatan tarif, justeru meringankan beban rakyat.
“Melalui KWIE, kita dapat membantu meringankan kos elektrik yang ditanggung oleh pengguna, di samping terus mengurus dan memperkukuh sektor tenaga negara,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata, hasil perdagangan Tenaga Boleh Baharu (TBB) merentas sempadan pula akan disalurkan ke dalam dana tenaga elektrik hijau.
“Dana ini diwujudkan khusus bagi menyokong usaha peralihan tenaga negara ke arah penggunaan sumber yang lebih mampan dan lestari serta memperkasa industri TBB di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, peralihan tenaga merupakan antara langkah penting negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.
“Usaha ini juga menyokong pembangunan industri TBB negara serta mempercepatkan pengenalan teknologi baharu dalam sektor tenaga,” katanya. – UTUSAN









