PARLIMEN: Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025

PARLIMEN: Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkasa penguatkuasaan terhadap aktiviti haram berkaitan penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik.

RUU tersebut diluluskan selepas dibahas oleh 12 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang dengan lebih suara bersetuju menyokong pindaan berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pindaan itu juga akan meningkatkan keberkesanan dan kelancaran tindakan penguatkuasaan oleh agensi terlibat.

“Pindaan ini penting bagi menyelaraskan undang-undang negara dengan obligasi di bawah konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Tunggal 1961 mengenai Dadah Narkotik dan Konvensyen PBB Menentang Perdagangan Haram Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1988.

“Antara fokus utama pindaan ialah pemerkasaan kuasa pegawai diberi kuasa, aspek latihan serta pemantauan dan penyelarasan kawalan terhadap senarai racun serta bahan terlarang termasuk kandungan dalam produk rokok elektronik atau vape,” katanya ketika pergulungan perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pindaan itu tidak menimbulkan pertindihan kuasa antara agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan penguatkuasa dadah kerana setiap agensi beroperasi mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Penguatkuasa dadah memberi tumpuan kepada racun dan bahan psikotropik berkaitan ubat serta bahan kimia industri, manakala polis memantau penyalahgunaan bahan terlarang dan kastam mengawal keluar masuk bahan tersebut di pintu masuk negara,” jelasnya.

RUU tersebut antara lain meminda Seksyen 2 Akta Racun 1952 (Akta 366) dengan meluaskan takrif ‘pegawai diberi kuasa’ kepada semua pegawai polis tanpa mengira pangkat serta individu yang dilantik oleh Menteri Kesihatan di bawah Seksyen 31A.

Selain itu, takrif ‘premis’ turut diperluaskan kepada mana-mana tanah, bangunan atau sebahagian bangunan serta sebarang struktur atau pepasangan di darat, luar pesisir, terapung di permukaan air sama ada boleh alih atau tidak.

Pada sesi sama, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025 bagi mengesahkan kutipan fi perkhidmatan feri di Terminal Feri Pengkalan Kubor, Kelantan yang telah dibuat sejak 1 Januari 1999 hingga 31 Disember 2024 tetapi tidak diwartakan di bawah Akta Fi 1951. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN