PARLIMEN: 7,862 gelandangan diambil JKM sejak lima tahun lalu

PARLIMEN: 7,862 gelandangan diambil JKM sejak lima tahun lalu

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 7,862 gelandangan atau orang papa telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan intervensi sosial sepanjang tempoh 2021 hingga Mei 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu merangkumi 1,528 orang pada 2021, 1,280 orang (2022), 2,080 orang (2023), 1,987 orang (2024) dan 987 orang dalam tempoh Januari hingga Mei 2025.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, Wilayah Persekutuan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,742 orang, diikuti Pulau Pinang (1,288) dan Johor (1,199),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) mengenai jumlah gelandangan mengikut negeri dan umur berbanding tahun-tahun sebelumnya serta perancangan kerajaan untuk menangani isu itu secara menyeluruh khususnya di kawasan bandar utama.

Mengulas lanjut, Nancy berkata daripada jumlah itu, 515 orang adalah di bawah umur 18 tahun, 5,068 orang berumur antara 18 hingga 59 tahun, 2,018 orang berusia 60 tahun ke atas, manakala selebihnya tidak dapat disahkan umur mereka.

Menurutnya, tindakan intervensi ke atas orang papa dilakukan mengikut peruntukan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183) yang memberi kuasa kepada pegawai JKM untuk mengambil individu terbabit dalam tempoh 24 jam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan secara ad hoc berdasarkan aduan awam atau melalui operasi berkala dan berjadual sama ada oleh JKM atau melalui kerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui wujud keperluan untuk mengkaji semula beberapa peruntukan sedia ada dalam Akta 183 yang dilihat tidak lagi relevan atau praktikal terutama dalam menangani isu pengemisan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan berhasrat untuk menggubal satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan gelandangan, pengemisan dan kemiskinan bandar sebagai pendekatan yang lebih holistik dan menyeluruh.

“Melalui penggubalan RUU ini, isu pengemis dan gelandangan dapat ditangani secara lebih komprehensif melibatkan pelbagai agensi dan kementerian yang berkaitan,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN