KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,846 kandungan berkaitan isu 3R (kaum, agama, raja) diturunkan penyedia perkhidmatan media sosial dari 1 Januari 2022 hingga 1 Julai 2025 kerana melanggar peruntukan undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memandang serius penyalahgunaan media sosial termasuk penyebaran propaganda, kandungan kebencian serta fahaman ekstremis yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menguatkuasakan undang-undang serta membanteras penyebaran ideologi yang bercanggah dengan nilai perpaduan negara,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) berhubung usaha membendung penyebaran propaganda, kebencian agama dan fahaman pelampau susulan konflik Iran-Israel dieksploitasi pihak tertentu dalam talian untuk menimbulkan ketegangan kaum di Malaysia.
Menurut Fahmi, antara peruntukan undang-undang yang digunakan termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta beberapa akta lain berkaitan keselamatan negara.
Jelasnya, MCMC mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform bagi menangani penyebaran kandungan radikal dan ekstremisme serta memastikan elemen kebencian dalam talian dapat dikekang.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta 588 terhadap individu yang menyalahgunakan aplikasi untuk menyebarkan kandungan palsu atau jelik dengan niat menyakitkan hati, menganiaya atau mengganggu orang lain,” jelasnya.
Dalam usaha memperkukuh keselamatan dalam talian terutama bagi melindungi golongan rentan termasuk kanak-kanak dan keluarga, MCMC memperkenalkan keperluan pelesenan kepada penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
“Mulai 1 Januari 2025, semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat perlu mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.
“Ia bagi memastikan mereka mematuhi obligasi undang-undang dan mengamalkan sistem serta proses yang dapat mengurangkan kemudaratan dalam talian.
“MCMC juga telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan pada 20 Disember 2024 bagi memperkukuh usaha tersebut,” katanya. – UTUSAN










