PASIR SALAK: Operasi pembenihan awan bagi menghasilkan hujan akan diusahakan di kawasan utara negeri ini susulan penurunan kritikal paras air di Empangan Bukit Merah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah pembenihan awan pernah dilaksanakan sebelum ini namun penyelesaian jangka panjang terhadap masalah tersebut memerlukan projek besar berkaitan pemindahan air.
“Dulu pun kita ada buat (pembenihan awan) tapi kita tahu soal takungan air sangat penting sebab itu kita usahakan projek pemindahan air bernilai berbilion ringgit bagi mengatasi masalah air di Lembah Kerian dan selatan Seberang Prai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad, Seberang Perak di Kampung Gajah, di sini hari ini.
Menurut Mohamad, projek besar penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, kini sedang memasuki fasa pelaksanaan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Sekarang kita sedang masuk ke fasa rundingan pelaksanaan dengan SPAN. Insya-Allah sekitar bulan Ogos ini,” katanya.
Pada Jun tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan anggaran RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian.
Projek berkenaan dijangka mampu menyelesaikan isu jangka panjang berkaitan keterjaminan bekalan air khususnya bagi sektor pertanian di Lembah Kerian yang merupakan antara kawasan jelapang padi penting di utara Semenanjung.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, paras air di Tasik Kolam Bukit Merah yang menjadi sumber air utama untuk kegunaan penduduk tempatan surut berikutan cuaca panas.
Tinjauan mendapati paras air tasik yang turut digunakan untuk tujuan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping kini surut sehingga menampakkan tunggul-tunggul kayu di dasarnya.
Keadaan itu membimbangkan pesawah di sekitar Bagan Serai, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing yang mungkin berdepan masalah kekurangan air kerana tasik tersebut merupakan sumber utama air untuk sawah padi. – UTUSAN