Padang sintetik UniSZA bernilai RM2.37j dinilai ikut piawaian FIFA

Padang sintetik UniSZA berjumlah RM2.37j dinilai ikut piawaian FIFA

PEKERJA kontraktor giat memasang rumput sintetik di Padang UniSports Arena milik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampung Gong Badak, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Padang bola sepak sintetik UniSports Arena milik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini dalam proses penilaian mengikut piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai langkah menjadikan kemudahan itu bertaraf antarabangsa.

Penilaian tersebut dijalankan oleh Acousto-Scan Pty Ltd., sebuah badan bertauliah yang diiktiraf FIFA dan merangkumi aspek teknikal seperti ukuran padang, kerataan permukaan, ujian pergerakan bola (ball roll test) serta ujian lantunan bola (ball bounce test).

Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA, Riduan Mohamed Arof berkata, proses audit padang itu dijangka mengambil masa kira-kira empat jam dan keputusan penuh bakal diketahui dalam tempoh dua bulan.

“Padang ini menggunakan rumput sintetik jenis LIMONTA Duo Shape 60 dengan ukuran 105 meter panjang dan 70 meter lebar, menepati spesifikasi yang ditetapkan FIFA,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, projek pembinaan padang sintetik tersebut bermula pada 17 September tahun lalu dengan kos RM2.37 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 17 September ini.

Kata Riduan, UniSZA juga merancang menjadikan fasiliti berkenaan sebagai pusat pembangunan bola sepak akar umbi menerusi pelaksanaan program Soccer Kid UniSZA.

“Selain dibuka untuk sewaan harian dan kejohanan, padang ini menjadi lokasi rasmi bagi kejohanan peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) serta peringkat kebangsaan.

“Komitmen universiti dalam menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa selaras dengan aspirasi melahirkan pelajar holistik, cemerlang dari segi akademik dan sahsiah diri,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN