BUTTERWORTH : Kadar pematuhan pemandu dan penumpang bas terhadap arahan pemakaian tali pinggang keledar disifatkan sebagai agak tinggi sepanjang tempoh dua hari operasi khas itu dijalankan di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkifly Ismail berkata, ini kerana hanya tiga kes berjaya dikesan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 158 bas ekspres dan persiaran sejak kelmarin.
Beliau berkata, daripada tiga kes tersebut, satu daripadanya melibatkan pemandu bas yang tidak memakai tali pinggang keledar semasa pemeriksaan secara rawak dilakukan di Plaza Tol Sungai Dua pada hari pertama operasi.
Katanya, dua lagi kes yang membabitkan penumpang pula dikesan oleh anggota JPJ dalam ops penyamaran sebagai penumpang bas yang berkenaan.
“Untuk pengetahuan, pemandu bas tersebut yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke selatan itu telah dikompaun sebanyak RM300 dan dia juga akur dengan kesalahan yang dilakukannya itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika turut-serta dalam Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Penang Sentral di sini, malam tadi.

Selain Terminal Bas Penang Sentral, operasi yang sama turut dijalankan di Terminal Bas Sungai Nibong di George Town. Pemeriksaan rawak juga dibuat di hentian rehat dan rawat (R&R) serta plaza tol terpilih.
Dalam pada itu, Zulkifly mengingatkan pengusaha bas supaya memastikan tali pinggang keledar dipasang dalam kenderaan mereka terutamanya bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 kecuali bas henti-henti.
“Pada masa yang sama, pemandu dan penumpang juga perlu sentiasa memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
“Selagi ada penumpang yang belum pakai, saya nasihatkan pemandu supaya tidak memulakan perjalanan tersebut demi keselamatan semua yang berada di dalam bas,” ujar beliau.-UTUSAN