Orkestra Sekolah Seri Puteri terima Anugerah Emas Festival Orkestra Dunia

Orkestra Sekolah Seri Puteri terima Anugerah Emas Festival Orkestra Dunia

KUMPULAN Orkestra Sekolah Seri Puteri, SPWinds yang menerima Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11, di KLIA, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) mencipta sejarah mengharumkan nama negara di pentas dunia apabila menjadi wakil tunggal dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 yang berlangsung di Vienna, Austria baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa anak-anak Malaysia mampu bersaing di peringkat global apabila diberi ruang, bimbingan dan sokongan yang menyeluruh.

Katanya, kejayaan Sekolah Seri Puteri telah membina rekod prestasi cemerlang sejak beberapa tahun lalu, hasil kerjasama erat antara pelajar, guru, ibu bapa dan pihak kementerian.

“Ini bukan sekadar kejayaan sekolah. Ini adalah kejayaan anak-anak Malaysia yang perlu kita raikan bersama.

“Alhamdulillah, saya sangat bangga. Ini bukan kemenangan pertama mereka, malah kemenangan kali ini benar-benar solid kerana ia lahir daripada latihan konsisten, sokongan keluarga, komitmen sekolah dan juga bimbingan KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut kepulangan kumpulan Orkestra  itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi.

Beliau berkata, SPWinds wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya dan kementerian sedang meneliti bentuk penghargaan bersesuaian untuk pasukan orkestra tersebut.

“Mereka layak dihargai. Kita akan lihat bentuk pengiktirafan yang sesuai, tetapi buat masa ini kita raikan dahulu kejayaan luar biasa mereka di pentas dunia,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kejayaan SPWinds membuktikan kepentingan menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat di luar bilik darjah, sekali gus selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan kerjasama masyarakat termasuk alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), atau syarikat swasta untuk turut membantu menyediakan sokongan kewangan dan fasiliti kepada pelajar, terutama mereka yang berpotensi tetapi kekurangan sumber.

“Kita tidak hanya menyokong dari aspek kewangan, tetapi juga dari segi profesionalisme, termasuk bimbingan jurulatih, ruang latihan dan sokongan moral. Kadangkala peluang seperti ini hanya datang sekali seumur hidup.

“Kita memang galakkan ekosistem sokongan itu supaya lebih banyak sekolah dapat menghantar pelajar menyertai pertandingan antarabangsa. Ini adalah satu pelaburan dalam pembangunan modal insan negara,” tegas beliau.

Orkestra Sekolah Seri Puteri, mencipta sejarah sebagai wakil tunggal negara berjaya memenangi anugerah itu.

Lebih membanggakan, konduktor SPWinds, Raja Muzafar Shah, turut dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik pada festival berprestij itu yang menghimpunkan lebih 20 orkestra dari 10 negara.

Seramai 66 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun mengambil bahagian dalam festival berkenaan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan, Seni dan Budaya Austria dan Universiti Muzik dan Seni Persembahan Vienna.

Mereka mempersembahkan karya antarabangsa seperti Amana oleh Hiroaki Kataoka, serta komposisi tempatan Rai dan Tari ciptaan Yeo Chow Shern, sekali gus mengangkat elemen budaya Malaysia ke pentas dunia.

Selain bertanding, SPWinds turut mempersembahkan lagu-lagu tradisional Melayu seperti Cindai, Wau Bulan, dan Umpan Jinak Di Air Tenang dalam empat konsert istimewa yang diadakan di lokasi berprestij seperti Wiener Musikverein (Golden Hall), House of Strauss, dan MuTh Concert Hall. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN