JOHOR BAHRU: Malaysia terus memperkukuh kerjasama serantau dalam keselamatan nuklear menerusi penganjuran Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura 2025 (MITSATOM 2025) di negeri ini bermula hari ini.
Latihan anjuran Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) itu dilaksanakan di bawah kerangka ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM) selaras dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia), Noraishah Pungut berkata, penganjuran latihan itu mencerminkan komitmen bersama negara-negara ASEAN dalam memperkukuh aspek keselamatan sempadan dan menangani insiden penyeludupan bahan radioaktif.
“Latihan ini bertujuan menguji keberkesanan komunikasi dan tindakan balas dalam mengesan insiden keselamatan nuklear, khususnya penyeludupan bahan radioaktif merentasi sempadan darat dan laut.
“Ia melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura,” katanya pada Majlis perasmian MITSATOM 2025 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin di sini, hari ini.
Noraishah berkata, pelaksanaan MITSATOM 2025 turut mendapat sokongan penuh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berperanan membimbing negara-negara terlibat sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan latihan.
Katanya, antara agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan pihak Berkuasa Pelabuhan Johor.
“MITSATOM 2025 menjadi platform penting dalam membina keupayaan pegawai barisan hadapan menerusi pendedahan secara langsung bersama pakar antarabangsa dalam meningkatkan kemahiran teknikal dan komunikasi berkaitan insiden keselamatan nuklear.
“Latihan ini bukan sahaja menguji kecekapan dan kesediaan pegawai dari negara ASEAN, malah memperkukuh jaringan kerjasama dan saling percaya antara agensi penguatkuasa dan badan kawal selia,” katanya.
Menurutnya, MITSATOM 2025 yang diadakan sehingga Jumaat ini turut disertai pemerhati antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), INTERPOL dan Arab Saudi selain delegasi rasmi dari negara-negara ASEAN yang terlibat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Atom Malaysia, Monalija Kostor berkata, latihan tersebut merupakan kali keempat diadakan di negara ini selepas kali terakhir di Sabah pada 2018.
“Selepas tujuh tahun, kita mengadakan semula latihan pada kali ini melibatkan sempadan darat dan laut. Dengan ini kita dapat fokus secara komprehensif untuk mengekang penyeludupan bahan radioaktif (pada masa hadapan),’’ katanya. – UTUSAN