PETALING JAYA: Keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes letupan paip gas di Putra Heights sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap mangsa yang masih menanggung kerugian dan trauma.
Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Mohd. Badly Nordin berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan tersebut selepas kes pemain bola sepak Faisal Halim turut menerima klasifikasi sama meskipun melibatkan serangan serius.
“Apabila kes melibatkan Faisal Halim itu ditutup tanpa tindakan, saya sudah jangka perkara yang sama akan berlaku terhadap kami di Putra Heights.
“Saya antara rakyat yang amat kecewa apabila kes tersebut diklafikasikan sebagai NFA awal Mei lalu. Sebagai peminat setia Selangor FC, saya melihat sendiri betapa seriusnya kecederaan Faisal,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan letupan di kawasan kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau sabotaj berlaku dan diklasifikasikan sebagai NFA.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, lot kedai dan aktiviti penggantian paip pembentung di kawasan tersebut mengikut garis panduan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Petronas.
Mengulas lanjut, Badly berkata, keputusan NFA kini seolah-olah menjadi trend untuk menamatkan siasatan tanpa memberi sebarang bentuk keadilan kepada mangsa.
“Ini bukan kebetulan, malah satu sistem yang semakin pincang dan menakutkan. Apabila kes-kes besar ditutup begitu sahaja, kepercayaan orang ramai terhadap proses keadilan semakin terhakis,” tambahnya.
Katanya, ramai penduduk kampung masih menanggung parut luka yang bukan sahaja pada fizikal, malah emosi dan kewangan.
“Sama seperti parut di wajah Faisal Halim, rakan dan jiran-jiran lain turut melecur teruk. Parut itu kekal hingga kini, bukan sahaja di tubuh kami tetapi dalam hati dan kehidupan kami,” katanya. – UTUSAN











