Najib jadikan SRC International alat penipuan skala besar - Peguam

Najib jadikan SRC International alat penipuan skala besar – Peguam

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku benefisiari utama syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) telah menjadikan syarikat itu alat dan mangsa penipuan berskala besar.

Peguam mewakili syarikat, Datuk Lim Chee Wee berkata, meskipun penubuhan asal SRC International untuk kepentingan dan memberikan faedah kepada rakyat, namun yang mendapat keuntungan ialah Najib.

“Walaupun SRC International mengalami kerugian besar sebanyak AS$1.18 bilion, defendan pertama (Najib) secara peribadi menerima AS$120 juta ke dalam akaunnya sendiri dan RM42 juta lagi yang menjadi subjek kepada satu lagi kes saman berasingan.

“Beliau juga menggunakan peranannya sebagai pengarah bayangan syarikat, di mana beliau mengawal Lembaga Pengarah melalui resolusi pemegang saham berkaitan keputusan makro penting yang sepatutnya diputuskan oleh Lembaga Pengarah SRC sendiri.

“Najib menandatangani resolusi pemegang saham untuk meluluskan dan mendapatkan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM4 bilion dan menyalurkan RM3.6 bilion daripada pinjaman itu untuk tujuan tidak sah.

“Ini membawa kepada Najib sebagai dalang utama di sebalik kerugian besar sebanyak AS$1.18 bilion,” katanya.

Chee Wee berhujah demikian pada prosiding kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil bagi menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Pada 2020, Nik Faisal yang diburu bagi membantu siasatan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta dikenal pasti berada di Hong Kong.

Chee Wee berkata, Najib sering menukar keterangannya dengan memberikan versi berbeza ketika ditanya berhubung penerimaan AS$120 juta dana SRC International yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.

Katanya, Najib telah dicabar dalam konteks kredibilitinya dan tort salah guna apabila mengesahkan dalam afidavit bahawa dia menerima RM42 juta daripada SRC International, namun memberikan lima versi berbeza dalam keterangannya di mahkamah.

“Antaranya, D1 (Najib) menyatakan afidavit itu didraf secara teruk selain menyatakan beliau dikelirukan oleh maklumat yang diberikan kepadanya.

“Tetapi apabila ditanya siapa yang memberikan maklumat salah itu, D1 tidak dapat memberikan jawapannya, selain mendakwa beliau turut dikelirukan oleh laporan media. Jika ia benar sekalipun, ini mencerminkan sikap cuai seorang Perdana Menteri yang bergantung secara melulu kepada ulasan awam,” katanya.

Chee Wee berkata, Najib menyalahgunakan jawatan awamnya dengan antara lain mendapatkan dua pinjaman bernilai RM2 bilion dan dua Jaminan Kerajaan tanpa menjalankan usaha wajar (due diligence) dan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu bagi sebuah syarikat yang digambarkan sendiri olehnya sebagai sebuah syarikat baru yang tiada rekod prestasi.

Beliau berkata, pinjaman itu telah mengalami kegagalan bayaran balik yang cuba disembunyikan oleh Najib dengan meluluskan beberapa pinjaman jangka pendek kepada SRC International untuk mengelakkan kegagalan bayaran, tanpa sebarang siasatan terhadap keupayaan membayar balik.

Pada 7 Mei 2021, SRC International memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Hujahan didengar Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN