BESUT: “Kami percaya dengan sistem perundangan negara dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.”
Demikian kata bapa kepada Allahyarham Nurly Sahirah Azman, salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (URTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu, selepas mengetahui butiran Laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan berhubung kejadian berkenaan.
Azman Mohamad,63, berkata, dia tidak mengetahui situasi sebenar kejadian kemalangan itu dan punca kejadian hanya dapat ditentukan dengan siasatan yang dilakukan oleh pihak berautoriti.
“Saya tidak boleh memberi sebarang komen berhubung kejadian ini kerana tidak berada di sana ketika insiden itu berlaku. Jadi saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa melakukan siasatan mahupun tindakan apa yang perlu diambil.
“Dari sudut lain, saya juga mengikut kata sepakat daripada seluruh keluarga yang terlibat sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya bagi membela nasib pelajar yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Nani Hamid, 49, ibu kepada seorang mangsa tercedera, Nur Ain Najwa Mohd Ilias berkata, mereka sebelum ini berjumpa dengan peguam yang dibawa oleh pihak UPSI bagi membincangkan tindakan undang-undang tetapi kata sepakat belum diambil.
Katanya, seharusnya tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu atau syarikat terlibat sebagai peringatan pada masa hadapan dan insiden sama tidak berulang.
“Kejadian ini perlu diambil serius kerana ia bukan sahaja mengorbankan nyawa malah ramai yang tercedera akibat kecuaian ini,” katanya.
Rosdi Yunus, 56, bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi pula berkata, pihak keluarga mangsa telah menyerah dokumen awal kepada peguam bagi membolehkan sebarang tindakan melalui undang-undang dilakukan terhadap mereka yang terlibat.
Terdahulu media melaporkan, bas yang membawa pelajar dalam nahas itu dipandu pada kelajuan luar biasa iaitu 117.6 kilometer sejam, melebihi dua kali ganda had ditetapkan.
Laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan mendapati kelajuan tersebut melangkaui had kritikal selekoh yang hanya sekitar 111 kilometer sejam, menyebabkan bas hilang kawalan lalu terjunam ke gaung.
Hasil siasatan juga mendapati tiada kerosakan pada sistem brek, namun terdapat kesan pemanasan melampau akibat penggunaan berlebihan. Tali pinggang keledar hanya dipasang di tempat duduk pemandu, manakala tiada alat pemantauan kelajuan seperti SLD dan GPS digunakan. – UTUSAN










