KUALA LUMPUR: Peminat filem tempatan bakal disajikan dengan sebuah lagi cerita seram yang diinspirasikan daripada kisah masyarakat bersangkutan amalan sihir.
Penerbit, Yusry Makmor berkata, filem Munajjim: Sekutu Iblis bukan cerita stereotaip berulang meskipun mengupas tentang amalan ilmu hitam dan syirik.
“Filem ini bukanlah sekadar cerita seram biasa kerana diinspirasikan daripada kisah benar tentang masyarakat yang bergantung kepada ilmu hitam dan bomoh.
“Munajjim: Sekutu Iblis dibikin untuk memberi kesedaran tentang amalan haram serta kesan negatif kerana bersekutu dengan iblis,” katanya.
Filem ini mengisahkan pasangan anak beranak yang menanggung padah kerana taksub dengan bomoh dan amalan ilmu hitam.
Kekuatan cerita ini disokong lakonan hebat Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherie Merlis dan Daniel Aqil.
Sementara itu, pengarah, Faizul A. Rashid memberi bayangan cerita tersebut tidak terkait dengan elemen seram stereotaip yang selalu dikaitkan dengan pontianak dan pocong.
“Ia memaparkan kisah yang lebih menyeramkan dengan sokongan visual sinematik yang lebih realiti.
“Kami yakin filem ini bukan sahaja memberi pengalaman sinematik yang memuaskan, malah berkesan memberi kesedaran kepada penonton menerusi mesej yang disampaikan,” kongsinya.
Munajjim: Sekutu Iblis bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 31 Julai ini. – UTUSAN