MOT lantik 4 syarikat, khidmat pemeriksaan tukar hak milik kenderaan

MOT lantik 4 syarikat, khidmat pemeriksaan tukar hak milik kenderaan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan pelantikan empat syarikat untuk melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi kenderaan persendirian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelantikan PPKM dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan tukar hak milik (M.V.15) merupakan salah satu usaha MOT untuk menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan dalam pasaran, selain mengurangkan kesesakan di PPKM sedia ada.

“Susulan daripada isu kesesakan yang berlaku di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), MOT mengambil inisiatif baharu untuk memperkenalkan PPKM tambahan khusus untuk M.V.15 bagi kenderaan persendirian sahaja.

“Inisiatif ini dijangka memudahkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan tanpa perlu bersesak di PPKM sedia ada yang turut melaksanakan pemeriksaan berkala kenderaan berat,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan.

Loke berkata, pada peringkat permulaan sebanyak tujuh syarikat telah ditawarkan untuk melaksanakan perkhidmatan PPKM di seluruh negara, namun hanya empat syarikat yang menerima tawaran tersebut.

Jelasnya, semua empat syarikat iaitu Carro Technology Sdn Bhd, Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd perlu mematuhi semua syarat di dalam Garis Panduan Pemberian Lesen
Pengoperasian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) Bagi Melaksanakan Pemeriksaan Tukar Milik (M.V.15) Kenderaan Motor Persendirian.

“Kelulusan bersyarat yang diberikan adalah dalam tempoh 12 bulan untuk pihak syarikat membuat persediaan berdsasarkan syarat yang ditetapkan dalam garis panduan tersebut.

“Dalam tempoh ini juga, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pemantauan berterusan dan lesen operasi hanya akan diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi semua keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, antara syarat-syarat utama adalah keupayaan syarikat yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM 1juta, berstatus Sendirian Berhad dan pemilikan tempatan dan mengemukakan cadangan lokasi untuk pertimbangan tertakluk kepada kelulusan MOT atau JPJ.

Selain itu, katanya, syarikat perlu menyediakan infrastruktur yang merangkumi pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan, integrasi dengan sistem MySIKAP dan keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan dan memastikan Pemeriksa Kenderaan Motor (PKM) mendapat pentauliahan kompetensi oleh pihak JPJ sebelum boleh memulakan tugas.

“Memandangkan ada di antara syarikat yang ditawarkan ini turut menjalanka aktiviti lain seperti jual beli kenderaan terpakai, pihak syarikat disyaratkan untuk menyediakan ruangan atau lorong pemeriksaan serta kakitangan khas bagi tujuan pengoperasian PPKM M.V.15 tertakluk kepada standard ISO/IEC 17020:2012 Conformity Assessment Requirements for the Operation of Various Types of Bodies Performing,” katanya.

Beliau turut berharap syarikat yang dilantik dapat memperluaskan rangkaian premis PPKM di seluruh negara terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi dan tidak hanya tertumpu di sesetengah lokasi sahaja.

Tegasnya lagi, pembukaan lebih banyak PPKM adalah bertujuan untuk meningkatkan persaingan yang sihat dan memastikan pemeriksaan kenderaan yang lebih berkualiti demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Perluasan PPKM ini juga seiring dengan dasar Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan semasa di mana kerajaan telah beralih daripada sistem konsesi pemain tunggal kepada sistem pelesenan berbilang pemain,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, pada masa akan datang MOT juga akan melihat sekiranya terdapat keperluan untuk mewajibkan pemeriksaan ke atas motosikal sebelum proses pertukaran hak milik.

“Sekarang ini kita tak wajibkan motosikal ada pemeriksaan sebelum tukar hak milik, tapi selepas kita ada kemudahan yang lebih baik ini, kita akan lihat juga adakah keperluan untuk motosikal juga perlu membuat pengesahan sebelum tukar milik itu dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN