Mula meminati segala perihal mengenai industri hiburan Korea atau K-Pop seawal usia 15 tahun, pengacara dan pelakon, Adriana Adnan mengakui dirinya terjebak dalam kelompok itu kerana kagum dengan rupa paras setiap selebritinya yang tampan dan cantik.
Menurut Adriana, minat itu secara tidak langsung membantu melancarkan perjalanan seninya sekiranya perlu berinteraksi dan bekerjasama dengan mana-mana selebriti Korea yang hadir ke Malaysia.
“Saya bersekolah di sekolah perempuan. Jadi, kawan-kawan yang ajar saya meminati K-Pop. Saya bersyukur minat ini terpupuk sejak kecil kerana secara tidak langsung memudahkan kerjaya saya dalam industri hiburan.
“Akses untuk mengenali dunia K-Pop juga lebih mudah kerana ada saja acara atau jenama yang menjemput artis Korea dan membolehkan saya berjumpa mereka sambil menjalankan tanggungjawab saya sebagai pengacara,” katanya kepada Pancaindera.
Kata Adriana, minatnya itu bukanlah satu perkara yang sia-sia kerana ia juga menjadi motivasi untuk dirinya terus berusaha keras untuk menjaga pencapaiannya dalam pelajaran.
“Ibu saya seorang yang tegas dan tidak benarkan saya bercinta jadi, dia sokong sahaja minat saya terhadap K-Pop malah membenarkan saya untuk pergi ke mana-mana konsert.
“Itu cara ibu bapa saya beri motivasi kepada saya untuk belajar dengan lebih rajin sehingga dapat straight A dalam peperiksaan.
“Ibu saya membenarkan saya pergi ke konsert di usia seawal itu juga kerana saya akan pergi bersama kawan-kawan perempuan. Malah, setiap sesi meet and greet akan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan,” jelasnya.
Kata pengacara yang berusia 30 tahun itu, dia sering mengagumi budaya kerja dan fesyen masyarakat Korea yang sentiasa menjaga disiplin serta penampilan mereka yang secara tidak langsung menjadi sumber rujukan dan inspirasi peribadinya.
“Saya amat mengagumi industri hiburan di Korea. Malah, produk kecantikan di sana dan cara mereka berfesyen sangat menarik. Saya ingat lagi gaji pertama saya selepas bekerja di HLive, saya bersama Yaya Zahir dan Eleena Sui pergi ke sana menggunakan duit saya sendiri.
“Mereka sejenis berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan apa yang mereka mahukan. Sebab itu mereka dikenali di peringkat antarabangsa,” kongsinya.
Sedar industri K-Pop ini didominasi oleh pengikut yang luar biasa, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu mengakui kurang gemar dengan sikap sesetengah peminat yang begitu taasub dan toksik.
Tambahnya, budaya itu yang membuatkan sesetengah masyarakat mempunyai perspektif yang negatif terhadap peminat K-Pop yang lain.
“Tidak dinafikan antara cabaran terbesar untuk hobi ini adalah kewangan kerana segalanya memerlukan kos yang tinggi untuk beli barang-barang merchandise, CD dan sebagainya. Tetapi saya tidak kisah kerana segalanya atas hasil usaha saya sendiri.
“Namun, budaya peminat K-Pop yang saling dengki dan terasa terpaling meminati seseorang idol ini membuatkan tanggapan sesetengah pihak menjadi negatif. Sedangkan bukan semua orang taksub seperti itu
“Tak salah minat Korea, tak perlu obses sampai jatuhkan orang lain hanya kerana mereka mendapat peluang yang lebih daripada mereka. Saya walaupun sudah bergelar selebriti masih sertai pertandingan untuk berjumpa dengan artis Korea kegemaran saya,” luahnya.
Ditanya berapakah jumlah terbesar dirinya pernah berbelanja ketika melancong di Korea, Adriana memaklumkan dirinya pernah berhabis sebanyak RM5,000 untuk beli barangan kecantikan dan produk penjagaan di sana untuk kegunaan setahun.
Akhiri perkongsian itu, Adriana juga sempat menitipkan pesan kepada generasi kini yang meminati K-Pop agar sentiasa mengutamakan pelajaran dan berusaha keras untuk capai apa yang diimpikan.