PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Bangladesh dan Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung siasatan penglibatan warganegara itu dalam Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kerjasama itu bagi tujuan mendapatkan maklumat-maklumat lanjut termasuk dengan negara jiran lain sekali gus membanteras gerakan yang menyebarkan fahaman radikal Islamic State (IS) itu.
“Kami juga sedang berusaha mendapatkan maklumat-maklumat lanjut daripada Interpol. Perkara ini akan kami kembangkan bagi memastikan rangkaian mereka dapat dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, beliau percaya gerakan tersebut dapat dibanteras pihaknya melalui keupayaan perisikan negara serta tindakan undang-undang yang dilaksanakan.
“Saya percaya kita akan dapat maklumat-maklumat lebih lanjut untuk meneruskan tindakan undang-undang di masa hadapan
“Setakat ini masih lagi dalam siasatan dan ada 15 lagi tahanan yang berada di bawah kita (SOSMA) dan maklumat lanjut akan diperoleh untuk kita kembangkan,” katanya.
Tegas Mohd. Khalid, sekiranya gerakan tidak dibendung, Malaysia berisiko menjadi hab logistik dan transit militan asing seterusnya mencemarkan imej negara sebagai tempat selamat.
“Penyusupan ideologi ekstrem dalam komuniti migran yang sukar dikesan dilihat boleh mencetuskan aktiviti subversif secara senyap.
“Sekiranya tidak ditangani, ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap reputasi antarabangsa selain menjejaskan imej Malaysia dan hubungan diplomatik serantau,” katanya.
Beliau justeru menegaskan bahawa keselamatan negara adalah keutamaan dan tidak akan dikompromi.
“Segala tindakan yang digerakkan adalah demi melindungi rakyat dan negara daripada sebarang unsur keganasan.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih peka terhadap persekitaran dan segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kegiatan GMRB yang dikesan merekrut ahli baharu di negara ini dalam kalangan buruh berjaya dibongkar susulan penahanan 36 anggota kumpulan berkenaan dalam operasi polis sekitar Selangor dan Johor.
Dalam operasi bermula 28 April hingga 21 Jun lalu, kesemua mereka termasuk ketua kumpulan militan berkenaan berusia 25 hingga 35 tahun ditahan.
Mohd. Khalid dilaporkan berkata, kumpulan itu yang terpengaruh dengan fahaman radikal IS masuk ke negara ini secara sah untuk mencari pekerjaan khususnya dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, kumpulan itu kemudian menyebarkan ideologi pengganas IS kepada komuniti migran terutama warga Bangladesh menggunakan platform media sosial dan aplikasi pesanan.
Katanya, tujuan mereka merekrut ahli-ahli dalam kalangan warga Bangladesh dipercayai bagi mengumpul dana untuk disalurkan bagi kegiatan ekstremis IS di Syria dan Bangladesh.
“Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram digunakan untuk menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia), dan menyusun aktiviti rahsia termasuk pengajian agama serta perjumpaan ahli.
“Siasatan lanjut mendedahkan kira-kira 100 ke 150 warga Bangladesh berada dalam kumpulan sembang WhatsApp terbabit.
“Bagi pengumpulan dana, ia dikesan melalui aplikasi seperti Touch n Go, bKash dan perkhidmatan penghantaran wang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN