KUALA LUMPUR: Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov menyifatkan pertemuan beliau bersama pemimpin ASEAN sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 sebagai satu pertemuan yang baik.
“Satu pertemuan yang baik,” katanya ringkas selepas Mesyuarat Pasca Persidangan Mesyuarat AMM ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Lavrov tiba di ibu negara pagi tadi bagi lawatan dua hari sempena Mesyuarat AMM Ke-58 yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Beliau mengetuai delegasi Russia ke mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula Isnin lalu hingga esok.
Delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul 8.27 pagi tadi dan disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abd. Rahman dan Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov.
Lavrov menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-Russia dan Forum Serantau ASEAN (ARF) bersama rakan dialog utama yang lain. – UTUSAN