PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Azmah, mendedahkan pernah ditawarkan menjadi duta produk syampu dengan bayaran RM6 juta di China, beberapa tahun lalu.
Namun begitu, Shila atau Nurshahila binti Amir Amzah, 34, menolak mentah-mentah tawaran itu kerana mereka meletakkan syarat agar penyanyi itu membuka tudung.
“Semasa di China, saya ditawarkan menjadi duta untuk iklan syampu rambut. Saya ada terdetik juga macam mana saya nak buat sebab saya bertudung.
“Mereka mahu beri saya 10 juta yuan bersamaan RM6 juta dengan syarat saya perlu buka tudung. Ketika itu saya sudah berhijab.
“Saya terus tolak, tak perlu fikir pun,” katanya dalam sebuah video temu ramah bersama stesen radio tempatan pada Selasa.
Jelas Shila lagi, artis di China kebiasaannya memang berduit memandangkan rata-rata selebriti dibayar dengan jutaan yuan setiap projek.
“Memang di China pelakon dan penyanyi akan lebih kaya. Satu episod lakonan memang akan dibayar jutaan yuan,” katanya lagi.
Terdahulu, Shila mula mencipta nama di China selepas menjadi juara pertandingan nyanyian Asian Wave pada 2012.
Namanya makin meledak selepas menyertai satu lagi pencarian bakat I am A Singer musim kedua pada 2014 menyebabkannya mula berpindah mencari rezeki di Hong Kong.
Tahun lalu, Shila kembali ke China menerusi rancangan Singing with Legends. -UTUSAN