PETALING JAYA: Thailand dan Kemboja perlu mengambil langkah berhemah serta melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi menoktahkan pertikaian antara dua negara itu yang kian meruncing.
Menteri-Menteri Luar ASEAN berkata, Thailand dan Kemboja perlu kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha damai.
Kata mereka, terdapat kebimbangan terhadap situasi semasa yang mungkin mengakibatkan peningkatan angka kematian di dua negara tersebut, kemusnahan harta awam dan pemindahan besar-besaran penduduk di kawasan sempadan.
“Kami sekali lagi menggesa agar kedua-dua pihak menghentikan semua bentuk permusuhan, kembali ke meja rundingan untuk memulihkan keamanan dan kestabilan.
“Serta menyelesaikan pertikaian dan perbezaan secara aman berasaskan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), dalam semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan kejiranan yang baik,” katanya menerusi kenyataan bersama semalam.
Terdahulu, mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja dengan Malaysia sebagai negara pengantara bagi membincangkan isu gencatan senjata bermula kira-kira pukul 3.15 petang di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini.
Pertemuan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi.
Sesi itu turut disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Selepas itu, satu sesi sidang akhbar dijangka diadakan membabitkan ketiga-tiga pemimpin bagi memaklumkan hasil mesyuarat khas tersebut. – UTUSAN









