Melaka juara tiga tahun berturut-turut kejohanan finswimming

Melaka juara tiga tahun berturut-turut kejohanan finswimming

MAJLIS meraikan kejayaan atlet Melaka yang muncul juara keseluruhan Malaysia Age Group Finswimming Championship 2025 anjuran MARLIN Finswimming Club di Alai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kontinjen Melaka terus mengukuhkan penguasaan dalam sukan finswimming apabila dinobatkan juara keseluruhan kali ketiga berturut-turut dalam Malaysia Age Group Finswimming Championship 2025.

Kejohanan edisi ketiga itu berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai lalu di Pusat Akuatik Setia Spice, Pulau Pinang, menyaksikan lebih 300 atlet dari seluruh negara bersaing dalam 188 acara pelbagai peringkat umur.

Kontinjen Melaka yang diwakili 71 atlet berusia antara enam hingga 19 tahun muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 173 pingat, terdiri daripada 78 emas, 47 perak dan 48 gangsa.

Presiden Persatuan Finswimming Negeri Melaka merangkap pengurus pasukan, Mohd. Azwim Kamarulzaman berkata, pencapaian itu hasil usaha berterusan semua pihak dalam membangunkan sukan tersebut secara serius dan tersusun.

“Kejayaan ini bukan semata-mata hasil latihan dalam tempoh singkat, tetapi merupakan buah dari pelaburan masa, tenaga dan komitmen seluruh pasukan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya bangga dengan anak-anak Melaka yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dan membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan atlet Melaka anjuran Marlin Finswimming Club di Alai di sini, semalam.

Dalam kejohanan itu, lapan atlet Melaka turut dinobatkan atlet terbaik masing-masing dalam kategori umur enam hingga 15 tahun, termasuk Aaisyah Yasmine Rasyid, Harvey Lim Zhao Cheng, Nuh Harith Mohamad Shafiq dan Muhammad Imann Khaled Azmy.

Mohd. Azwim berkata, Melaka bersedia menjadi peneraju pembangunan sukan finswimming negara dengan menganjurkan kejohanan tempatan, selain memperluas pencarian bakat baharu.

“Melaka akan menganjurkan Kejohanan 1st Melaka Age Group Finswimming Championship 2025 pada 4 Oktober ini di Pusat Akuatik Krubong yang dijangka menghimpunkan lebih 200 atlet muda dari seluruh Melaka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN