Optimis finswimming disenaraikan dalam Sukma - Utusan Malaysia

Optimis finswimming disenaraikan dalam Sukma

S. RAVIVARMA beramah mesra dengan atlet yang mengungguli kategori masing-masing dalam Kejohanan Finswimming Peringkat Umur Negeri Sembilan 2024 di Pusat Akuatik Negeri, Paroi di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persatuan Finswimming Malaysia optimis sukan tersebut akan dapat disenaraikan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang selepas memenuhi syarat-syarat ditetapkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

Presidennya, S. Ravivarma berkata, buat masa ini hanya terdapat lima negeri mempunyai persatuan sukan tersebut iaitu masing-masing membabitkan Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

“Untuk melayakkan acara ini disenaraikan ke temasya Sukma, sekurang-kurangnya kita perlu ada tujuh ke lapan negeri persatuan finswimming. Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang kini dalam proses pendaftaran persatuan. 

“Kami jangkakan dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan jawatankuasa tertinggi tersebut pada tahun depan dan kini persatuan sedang giat aktif dalam menganjurkan siri kejohanan di peringkat negeri menerusi program pembangunan akar umbi bagi mencari dan melahirkan atlet terbaik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Finswimming Peringkat Umur Negeri Sembilan 2024 di Pusat Akuatik Negeri, Paroi di sini, hari ini. 

Ravivarma dalam pada itu berkata, biarpun sukan finswimming masih baharu, namun pihaknya telahpun menghantar pasukan ke Sukan Sea di Hanoi, Vietnam dan Sukan Sea di Kemboja malah berjaya memperolehi satu pingat gangsa. 

“Buat masa ini, kita mempunyai seramai 32 atlet kebangsaan dan pada bulan September depan skuad finswimming akan mewakili negara dalam kejohanan dunia di  Phuket, Thailand,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, seramai 65 orang atlet terlibat membabitkan enam kelab mengambil bahagian pada kejohanan bawah umur di Pusat Akuatik Negeri di Paroi itu.

“Sebanyak 12 kategori telah dipertandingkan dalam kejohanan kali ini. Selepas ini ke Melaka pula, kami berharap setiap negeri dapat menganjurkan kejohanan seperti ini untuk mencari atlet pelapis dalam usaha kita memberi pendedahan mengenai acara sukan ini. 

“Untuk memastikan sukan baharu ini lebih berkembang, persatuan juga memerlukan sokongan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) di setiap negeri dalam membantu bagi menggerakkan sukan ini

“Negeri Sembilan beruntung kerana mendapat dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dana komuniti serta Ahli Parlimen. Kami harap negeri lain pun buat perkara yang sama, kalau tidak ada kejohanan, atlet pun tidak datang,”katanya. 

Finswimming merupakan acara sukan renang yang menggunakan alat tambahan iaitu sepasang sirip kaki (bifin) atau sirip kaki tunggal (monofin) 

Sementara itu, atlet muda finswimming, Aira Nageena Zaharudin 9, gembira apabila dinobatkan sebagai atlet perempuan terbaik bagi kategori umur 8-9 tahun.

“Saya juga menang bagi kategori 100 meter bifin dan 50 meter bifin. Kejayaan ini membuktikan usaha berterusan dengan berlatih berbaloi dan akan berusaha ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN