SUBANG JAYA: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah merasmikan Hub Durian@Subang Jaya, sebuah inisiatif di bawah Projek Placemaking Dataran Millennium SS13, yang terletak di Subang Jaya, Selangor. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Bandar MBSJ, Datuk Amirul Azizan,.
Projek Placemaking Dataran Millennium SS13 yang terletak di Jalan SS13/1A, meliputi kawasan seluas 38 meter lebar dan 196 meter panjang, merupakan inisiatif strategik MBSJ bagi menaik taraf kawasan hijau yang terbiar kepada sebuah hab perniagaan terbuka yang kondusif, menarik dan berdaya maju.
Ia juga memperkenalkan suasana santai dan mesra keluarga menerusi kemudahan Tapak Smart Trak, yang kini menjadi pusat aktiviti komuniti setempat. Dataran Millennium telah dibangunkan kepada tiga (3) zon aktiviti utama, iaitu Tapak Food Truck / Penjaja, Tapak Car Boot Sale atau “Good Weekend Club” , Tapak Hub Durian
Tapak Hub Durian@Subang Jaya telah beroperasi sejak Jun 2025 dengan penyertaan enam peniaga durian tempatan.
Terletak di lokasi strategik berhampiran jalan utama, tapak ini dilengkapi kemudahan tempat letak kenderaan bagi kemudahan pengunjung.
MBSJ menjangkakan Hub Durian ini bakal menjadi destinasi utama penduduk tempatan dan pelancong, khususnya sewaktu musim durian.
Selain itu, Dataran Millennium turut menempatkan Tapak Food Truck yang diuruskan oleh Tapak Suvarnabumi Sdn. Bhd. yang telah mula beroperasi sejak 14 Disember 2023 dan dibuka setiap Khamis hingga Ahad, dari pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.
Pengunjung dapat menikmati pelbagai jenis makanan sambil dihiburkan dengan persembahan buskers tempatan yang menceriakan suasana komuniti.
Manakala, Tapak Car Boot Sale ‘Good Weekend Club’ menawarkan peluang perniagaan kepada 30 vendor setiap minggu dan beroperasi setiap Khamis hingga Ahad, dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
Program ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan golongan belia dan kini diiktiraf sebagai salah satu Car Boot Sale paling aktif di Lembah Klang, memberikan peluang perniagaan sampingan yang berdaya saing dan mampan.
Selaras dengan aspirasi MBSJ ke arah bandar raya mampan dan lestari, kempen Bebas Polisterina turut diperkenalkan di kawasan ini sebagai sebahagian inisiatif hijau.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kesan penggunaan bekas polisterin terhadap alam sekitar dan menggalakkan amalan perniagaan yang lebih mesra alam.
MBSJ amat mengalu-alukan kehadiran komuniti Subang Jaya dan kawasan sekitarnya bagi memeriahkan tapak niaga ini serta terus menyokong pembangunan usahawan mikro ke arah perniagaan yang mampan, berdaya saing dan inovatif. – UTUSAN