GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menahan sekumpulan nelayan warga Indonesia yang cuba menceroboh perairan negara di sini tanpa kebenaran yang sah, semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, terdahulu, pihaknya berjaya mengesan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 40 batu nautika ke barat laut Pulau Kendi kira-kira pukul 11.50 pagi.
Katanya, penguatkuasa Maritim yang bertugas kemudian segera menghampiri bot terbabit untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, VNA terbabit tidak memiliki nombor pendaftaran yang sah dan dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia termasuk seorang tekong yang berusia antara 19 hingga 52 tahun.
“Kesemua mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah selain dipercayai memasuki perairan negara ini secara haram,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa pas atau permit sah, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.-UTUSAN