KUALA LUMPUR: Gara-gara meminjam wang RM150 dan gagal membayar pinjaman ah long, seorang penghutang dipaksa membakar rumah orang demi menyelamatkan nyawa sendiri dan keluarga daripada ancaman bunuh.
Lebih mengecewakan, kerja kotor itu tidak akan terhenti pada sebuah rumah sahaja, sebaliknya perlu terus dilakukan selagi wang pinjaman yang mencecah puluhan ribu ringgit dari hari ke hari belum dilangsaikan sepenuhnya.
Ketua Unit Banteras Ahlong, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa yang membongkarkan perkara itu berkata, kesemua mereka merupakan peminjam wang dari satu kumpulan yang ‘buas’ menjalankan aktiviti pinjaman wang paling rendah tanpa lesen secara dalam talian di negara ini.
“Mangsa-mangsa ini bila terlalu takut, mereka sanggup terima tawaran kumpulan yang beri pinjaman ini untuk bakar rumah, simbah cat dan jenayah lain terhadap mangsa-mangsa yang juga gagal membayar wang pinjaman.
“Jika sanggup buat, hutang mereka akan dihapuskan sedikit demi sedikit bahkan turut terima upah. Contohnya bakar sebuah rumah hutang lupus RM1,500 kalau mangsa itu hutang dan ‘bunga’ sebanyak RM9,000 berapa rumah perlu dibakar dan dibaling cat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Adam yang melihat ancaman jenayah itu seperti tiada penghujung berkata, jumlah mangsa kumpulan terbabit semakin ramai yang mana di pihaknya sahaja telah berjaya menyelesaikan sebanyak 2,000 kes sejak tahun 2022 sekali gus menyelamatkan mangsa daripada menerima tawaran kumpulan itu.
“Setakat ini, jumlah pinjaman tertinggi dalam rekod kita adalah sejumlah RM70,000 yang asalnya bermula dengan RM150 sahaja,” katanya.
Adam berkata, modus operandi yang ditetapkan kumpulan itu adalah memberi pinjaman wang pada kadar minimum RM300 dan RM500 namun dapat ditangan peminjam, hanya dapat RM150 dan RM300 sahaja menerusi transaksi wang dalam talian.
Syarat kepada peminjam pula katanya, mereka perlu menghantar video lokasi rumah, video di dalam rumah dan lokasi terkini peminjam menerusi aplikasi WhatsApp dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kumpulan ini dipercayai beroperasi di Kemboja dan ahlinya terdiri daripada warga asing dan rakyat tempatan yang menggunakan dialek bahasa Indonesia.
“Selepas peminjam dapat wang, satu tarikh bayaran balik dimaklumkan, biasanya empat hari. Jika peminjam tidak bayar dalam waktu itu notis akan diberikan, jika gagal bayar lagi kumpulan ini sengaja mendiamkan diri untuk tempoh dua minggu.
“Selepas dua minggu, kumpulan ini terus menghantar orang mengunci pintu rumah mangsa, menyimbah cat pada rumah dan kenderaan, menyebarkan salinan kad pengenalan di kawasan kejiranan serta paling drastik membakar rumah,” ujarnya.
Adam menambah, berdasarkan siasatan terkini, mangsa pinjaman dalam talian ini kebanyakannya terdiri daripada penjudi, penagih dadah, suri rumah dan segelintir mereka yang inginkan sedikit wang dalam kadar segera.
“Setakat ini, hampir semua kes disiasat dan diselesaikan oleh anggota kami sendiri yang terdiri daripada daripada bekas ah long, bekas collector (penuntut wang) dan bekas gangster yang pernah melakukan kerja-kerja pemerasan. Mungkin inilah nilai tambah kami untuk membantu orang ramai,” ujarnya.
Beliau seterusnya menggesa orang ramai agar berhati-hati dan tidak mengambil jalan pintas dengan sewenang-wenangnya meminjam wang daripada mana-mana syarikat pinjaman wang tanpa lesen kerana kesannya amat buruk. – UTUSAN