MARANG: “Nyawa jadi taruhan, tetapi saya tak fikir panjang, hanya mahu selamatkan mangsa.”
Itu kata-kata dua individu berjiwa kental yang sanggup berkorban demi menyelamatkan nyawa orang lain dalam situasi cemas dan berisiko tinggi.
Seorang malim gunung, Nor Hayati Hamzah, 40, dan seorang jurukimpal, Mohd. Khairi Mohd. Aziah, 32, masing-masing menerima Anugerah Bakti Komuniti dan Anugerah Jiwa Penyelamat sempena Program Madani Rakyat Kebombaan Komuniti (PMRKK) yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad kelmarin.
Berkongsi detik cemas itu yang berlaku pada 28 April lalu, Nor Hayati yang juga ibu kepada tiga cahaya mata dari Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun berkata, seorang wanita berusia 38 tahun dari Selangor mengalami dehidrasi ketika berada di kawasan air terjun Latar Langsir, Hulu Dungun.
Katanya, mangsa keletihan dibawa keluar menggunakan helikopter Unit Udara JBPM manakala dia dan rakan lain membantu membawa turun rakan lelaki mangsa.
“Sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian, saya bersama sembilan lagi rakan malim gunung terus mendaki ke lokasi yang mengambil masa lima jam. Kami berjalan sekitar pukul 10 pagi dan tiba di sana kira-kira 3 petang,” katanya ketika ditemui di Dewan Auditorium Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, di sini.
Dalam kejadian itu, unit helikopter JBPM juga digunakan untuk membawa turun mangsa dan dibawa ke hospital manakala dia bersama rakan-rakan terlebih dahulu menempuh perjalanan kira-kira lima jam untuk ke lokasi menyelamat.
Sementara itu, Mohd. Khairi dari Kampung Binjai, Kemaman pula tidak menyangka tindakan spontannya menyelamatkan dua mangsa kebakaran pada 19 Jun lalu kira-kira pukul 12.45 tengah hari ketika dalam perjalanan menjemput anaknya di sekolah mendapat perhatian JBPM.
“Saya nampak kepulan asap dari sebuah rumah dan terus berhenti. Tanpa berlengah saya pecahkan pintu rumah dan melihat seorang kanak-kanak sedang menangis di ruang tamu manakala seorang warga emas berada dalam bilik.
“Saya bawa keluar kedua-dua mangsa secepat mungkin. Walaupun nyawa jadi taruhan, saya tahu saya perlu bertindak,” katanya.
Menurutnya, itu merupakan pengalaman pertamanya menyelamatkan mangsa kebakaran dan dia bersyukur kerana kedua-dua mangsa selamat.-UTUSAN










