PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan pendirian negara, termasuk mengenai Dasar Bumiputera dalam berdepan rundingan isu tarif dengan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, kerajaan kekal tegas perlu ada garis sempadan atau ‘redline’ tertentu dalam rundingan, biarpun menghargai kepentingan hubungan dagang dan pelaburan dengan kuasa ekonomi itu.
“Walaupun kita hadapi sekarang dalam rundingan dengan Amerika Syarikat dalam soal tarif Presiden (Donald) Trump. Itu perkara yang kita beri penekanan. Beberapa kali Jemaah Menteri (berbincang), tetapi kita ada pendirian, kita ada ‘redline’, risiko kita sedia hadapi.
“Apa dia ‘redline’ itu? Jangan ganggu soal dasar negara. Dia kata kalau dasar bumiputera itu diskriminasi. Tidak, kita kata tidak. Malaysia ini tegak dengan beberapa dasar yang kita terima pakai. Tapi ini ‘redline’ kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini. – UTUSAN