PETALING JAYA: Perdana Menteri mengalu-alukan kemasukan lebih banyak pelaburan strategik dari Itali ke Malaysia terutamanya dalam sektor teknologi tinggi, pertahanan dan tenaga lestari.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia menerima penyertaan syarikat-syarikat gergasi Itali seperti Leonardo, Fincantieri dan ENI yang mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan industri semikonduktor, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
“Saya menyambut baik pelaburan oleh syarikat-syarikat terkemuka Itali di Malaysia, termasuk penglibatan mereka dalam Zon Ekonomi Khas serta pelaksanaan program latihan industri yang berteraskan kepakaran dan pemindahan teknologi,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni hari ini.
Terdahulu sebelum pertemuan itu, Anwar turut menerima sambutan rasmi daripada Meloni
Sementara itu, Anwar berkata, pertemuan itu turut membincangkan peluang memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang utama termasuk pelaburan, pertahanan, pembangunan teknologi dan tenaga lestari.
Katanya, kerajaan komited memastikan setiap pelaburan berkualiti yang masuk ke Malaysia memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kapasiti teknologi tempatan.
“Kita mahu memastikan Malaysia bukan sahaja destinasi pelaburan, tetapi menjadi hab industri berteknologi tinggi yang memberi manfaat jangka panjang, seiring matlamat pembangunan mampan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara ASEAN dan rakan antarabangsa seperti Itali, bagi memastikan kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi inklusif di rantau ini.
Malaysia, katanya, amat menghargai keterbukaan dan kesungguhan Itali sebagai rakan kongsi strategik, terutama dalam usaha memperkukuh jaringan ekonomi dan teknologi yang saling menguntungkan.
“Saya yakin hubungan erat Malaysia–Itali akan terus berkembang, demi kemajuan dan masa depan yang lebih cerah untuk kedua-dua negara,” katanya.