KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyalurkan tambahan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$1 juta (RM4.7 juta) kepada Palestin, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan negara sejak September 2023 mencecah AS$23 juta (RM108 juta).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi dua organisasi iaitu Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan Bulan Sabit Merah Palestin.
Katanya, langkah itu diambil susulan cabaran besar yang dihadapi dari segi penghantaran bantuan secara langsung ke kawasan bergolak.
“Sebentar tadi di persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD) keempat, saya telah umumkan tambahan bantuan sebanyak AS$1 juta khusus bagi keperluan mendesak seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan asas lain.
“Namun, ia tidak dapat disalurkan terus ke kawasan konflik, jadi kita gunakan saluran yang telah terbukti berkesan iaitu UNRWA dan Bulan Sabit Merah Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AAM) ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Mohamad, bantuan itu akan diagihkan sama rata di mana AS$500,000 (RM2.35 juta) dibahagikan kepada dua organisasi kemanusiaan yang memainkan peranan penting sebagai nadi bantuan kepada rakyat Palestin.
Katanya, Malaysia terus komited menyokong perjuangan Palestin menerusi pendekatan bantuan bersasar termasuk pemulihan infrastruktur, pembangunan negara dan belia serta aspek kemanusiaan.
“Bantuan teknikal dan program peningkatan keupayaan untuk Palestin juga akan diteruskan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” katanya.-UTUSAN










