PETALING JAYA: Malaysia, Mesir dan Afrika Selatan menyatakan pendirian menentang sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang konflik di Gaza perlu dihentikan serta-merta.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan berasingan dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan rakan sejawat dari Mesir, Mostafa Madbouly di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17 di Rio De Janeiro, Brazil.
Anwar dalam pertemuan bersama Ramaphosa turut merakamkan penghargaan terhadap usaha Afrika Selatan memperjuangkan Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Saya zahirkan penghargaan atas sokongan tegas Afrika Selatan terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk usaha gigih mereka di ICJ.
“Di samping itu, Malaysia dan Mesir sepakat bahawa sebarang bentuk penindasan mesti dihentikan segera dan komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap pencabulan hak asasi yang berterusan,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook.
Perdana Menteri turut menyatakan komitmen memperkukuh hubungan dengan Afrika Selatan dan Mesir sebagai rakan dagang utama.
Katanya, Malaysia dan Afrika menilai semula kerjasama meliputi pelbagai bidang, selain merangka langkah memperluas pelaburan strategik dalam sektor pertanian, automotif, pelancongan dan halal.
Anwar turut mengundang Ramaphosa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Oktober ini.
“Saya juga mengucapkan terima kasih atas undangan kepada Malaysia untuk menghadiri Sidang G20 di Afrika Selatan pada November,” katanya. – UTUSAN