Peguam tegur Aliff Syukri cuba raih simpati - Utusan Malaysia

Peguam tegur Aliff Syukri cuba raih simpati

PEMPENGARUH dan ahli perniagaan, Datuk Aliff Syukri Kamaruzaman ketika hadir sesi perbicaraan berhubung kes saman fitnah yang difailkan oleh Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan akhbar dan hantaran menerusi media sosial yang dibuat oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman selaku defendan dalam kes saman fitnah didakwa bertujuan meraih simpati umum serta boleh menjejaskan proses keadilan di mahkamah.

Peguam bela mewakili plaintif, Ravichandaran Selliah berhujah defendan cuba menjalankan perbicaraan melalui media dengan mengeluarkan kenyataan berulang kali kepada akhbar dan platform awam, sekali gus memberi gambaran negatif terhadap plaintif dan proses kehakiman.

Beliau berkata, kenyataan defendan yang menyebut dirinya ‘mencari rezeki halal’ membawa implikasi tersirat pihak plaintif seolah-olah memperoleh pendapatan yang tidak halal, sekali gus mencetuskan persepsi buruk dalam kalangan masyarakat.

“Ini bukan sekadar kenyataan peribadi, tetapi berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan mencemarkan pentadbiran keadilan,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kesucian mahkamah, keadilan perbicaraan serta keyakinan awam terhadap sistem perundangan terus terpelihara.

Sementara itu, peguam bela mewakili Aliff Syukri, Mohd Tajudin Abd Razak berkata, kenyataan dan perkongsian berkaitan kes saman yang dibuat oleh defendan tidak seharusnya dianggap mengganggu proses perbicaraan yang sedang berjalan.

Beliau berhujah anak guamnya mempunyai hak untuk memberikan komen berdasarkan laporan yang telah disiarkan oleh pihak media dan kenyataan tersebut bukan dikeluarkan secara langsung oleh defendan.

“Kenyataan tersebut tidak menjejaskan perjalanan perbicaraan kerana ia tidak dibuat dengan niat untuk mempengaruhi mahkamah atau mencampuri urusan kehakiman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Tajudin tidak bersetuju dengan dakwaan kenyataan berkenaan boleh memberi tekanan kepada mahkamah atau mempengaruhi keputusan kes, sambil menegaskan keyakinannya mahkamah bersifat adil dan tidak akan terkesan dengan kenyataan di luar prosiding.

Pada 6 September 2023, Abdul Kadir, 86, memfailkan saman RM70 juta terhadap Aliff Syukri kerana mengeluarkan kenyataan fitnah dalam Instagram dan Facebook pada 2 Julai tahun sama.

Beliau yang juga bekas Menteri Penerangan mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan jutaan ringgit, selain gambar plaintif diletakkan pada kenyataan yang mengundang komen negatif daripada pembaca.

Selain tuntutan RM70 juta, bekas menteri itu meminta ganti rugi yang dinilai mahkamah dan perintah supaya defendan memberi aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat disiarkan di akaun media sosial usahawan terbabit selama tujuh hari.

Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan pula mendakwa membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 membabitkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor berlangsung selama tiga hari, sejak Selasa lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN