Malaysia kutuk rampasan Masjid Ibrahim oleh Israel

Malaysia kutuk rampasan Masjid Ibrahim oleh Israel

MOHD NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel merampas kuasa pentadbiran Masjid Ibrahim (Ibrahimi Mosque) di Hebron (al-Khalil), Palestin daripada pihak Majlis Perbandaran Hebron.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan provokatif itu jelas mencabuli prinsip undang-undang antarabangsa serta ketetapan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengiktiraf Masjid Ibrahim sebagai tapak warisan dunia sejak 2017.

“Masjid Ibrahim merupakan antara tempat suci dan bersejarah bagi umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam Malaysia memandang serius perkembangan ini sebagai satu bentuk kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin dan warisan umat Islam sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan  kuasa pentadbiran masjid berkenaan diserahkan kepada Majlis Agama Kiryat Arba, sebuah entiti penempatan haram Israel.

Mohd. Na’im berkata, Malaysia menyokong  gesaan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin agar dunia antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mengambil tindakan bagi menghentikan usaha haram tersebut.

Beliau turut mengalu-alukan ketegasan beberapa negara seperti Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang lantang mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

“Kerajaan Malaysia menyeru seluruh umat Islam di dalam dan luar negara untuk terus menyuarakan bantahan, berdoa serta menyumbang kepada usaha mempertahankan Masjid Ibrahim dan seluruh bumi Palestin daripada cengkaman penjajahan Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN