PETALING JAYA: Malaysia mengecam tindakan Israel yang melancarkan serangan udara ke atas Syria di Damsyik sehingga mengorbankan tiga nyawa dan 34 orang lagi cedera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan rejim Zionis itu merupakan satu lagi tindakan yang mencabuli kedaulatan Syria hingga mengorbankan nyawa orang awam yang tidak bersalah.
Menurut beliau, serangan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.
“Syria telah menanggung penderitaan yang amat dahsyat sepanjang dekad lalu. Rakyatnya berhak untuk menikmati keamanan, bukan keganasan berterusan atau campur tangan asing.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria, dan menyeru agar pelanggaran seperti ini dihentikan serta-merta dan supaya komitmen terhadap prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang diperbaharui,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Israel melancarkan serangan terhadap ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria di tengah bandar Damsyik.
Serangan itu turut menyasarkan kawasan berdekatan istana presiden, menjadikannya antara tindakan paling berani oleh Israel terhadap pusat pemerintahan Syria dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Rakaman televisyen menunjukkan bangunan kementerian musnah teruk, dengan asap tebal membumbung dan serpihan berterbangan ke udara akibat letupan.
Israel mendakwa serangan itu bertujuan menghalang usaha penempatan semula pasukan rejim Syria ke wilayah Sweida iaitu kawasan majoriti Druze yang kini bergolak susulan pertempuran antara kumpulan Druze, komuniti Bedouin, dan tentera kerajaan. – UTUSAN










