PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pilihan pelajar antarabangsa, khususnya dari negara-negara ASEAN.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, sistem pendidikan tinggi negara yang semakin berkembang mengikut keperluan semasa serta kualiti institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjadi antara faktor utama yang menarik minat pelajar luar negara.
“Malaysia bukan sahaja menawarkan pendidikan bertaraf dunia, malah menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif serta pelbagai inisiatif yang memudahkan pelajar antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Indonesia merupakan antara negara tertinggi menghantar pelajar ke Malaysia, dengan sejumlah 11,293 pelajar direkodkan sehingga Mac 2025.
Jelasnya, KPT telah mengadakan lawatan kerja ke Indonesia selama dua hari bermula 11 Julai lalu, termasuk menghadiri beberapa mesyuarat serta kunjungan hormat bagi membuka ruang kepada peluasan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Katanya, kerjasama itu merangkumi bidang penyelidikan dan mobiliti pensyarah serta pelajar dalam sektor-sektor strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa.
“Sehingga Disember 2024, sebanyak 464 perjanjian kolaborasi telah dimeterai antara IPT Malaysia dan Indonesia, merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan biasiswa Malaysia International Scholarship yang kini telah dimanfaatkan oleh seramai 21 pelajar Indonesia sehingga akhir tahun lalu.
Selain itu, inisiatif ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) turut diperkenalkan sebagai platform maklumat biasiswa secara dalam talian, dengan lebih 300 penyedia biasiswa menyertai program itu, menawarkan komitmen berjumlah melebihi RM19 juta.
“KPT yakin pendekatan holistik dalam mempromosikan pendidikan tinggi negara bukan sahaja mampu meningkatkan imej Malaysia di mata dunia, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pendidikan serantau.
“Inisiatif ini selari dengan teras Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan keyakinan,” katanya. – UTUSAN