KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat kemasukan 195,878 pelajar antarabangsa dari lebih 150 negara pada tahun ini, berdasarkan Kad Laporan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 yang menampilkan 25 pencapaian utama kementerian.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkembangan itu mencerminkan kepercayaan global terhadap keupayaan sistem pendidikan tinggi negara yang kini semakin berdaya saing dan relevan di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, budaya pendidikan tinggi masa kini menuntut masyarakat lebih peka terhadap peranannya sebagai pemacu daya saing negara, terutama dalam usaha Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
“Walaupun usaha ini dilihat sebagai salah satu pencapaian utama, namun komitmen memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa tidak terlepas daripada kritikan termasuk dakwaan kononnya kehadiran pelajar luar menjejaskan peluang pelajar tempatan.
“Kita masih mempertahankan jumlah pengambilan pelajar tempatan. Tiada pengurangan langsung.
“Pada masa sama, Malaysia semakin muncul sebagai antara hab pendidikan antarabangsa yang semakin diminati,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Media Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, malam tadi.
Zambry menegaskan, keputusan pelajar luar negara datang sendiri untuk menyambung pengajian di Malaysia membuktikan kualiti pendidikan tinggi negara diiktiraf dan diyakini.
“Kalau mereka tidak percaya dengan sistem kita, mustahil mereka sanggup berbelanja besar untuk ke sini. Mereka memilih Malaysia kerana kualiti yang setanding di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan itu bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di pentas global, malah memberi pulangan besar kepada ekonomi melalui perbelanjaan pelajar, pelaburan pendidikan dan peningkatan sektor perkhidmatan berkaitan.
“Malaysia perlu terus memanfaatkan momentum yang ada dengan memastikan ekosistem pendidikan tinggi kekal kompetitif agar negara terus menjadi destinasi utama dalam peta pendidikan tinggi dunia,” katanya. – UTUSAN










