KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencatat kehadiran 1.6 juta pelancong dalam sektor pelancongan kesihatan pada tahun lalu dengan mencapai pendapatan berjumlah RM2.72 bilion iaitu peningkatan 21 peratus berbanding tahun 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, angka berkenaan jelas membuktikan Malaysia sebagai antara destinasi utama pelancongan kesihatan di rantau ini.
Katanya, antara perkhidmatan utama yang menjadi tarikan pelancong dalam sektor itu termasuklah kardiotorasik, rawatan kesuburan (IVF) dan perubatan tradisional.
“Pencapaian ini menjadi asas kukuh kepada pelancaran Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026, yang julung kali diadakan dan diselaraskan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ciri utama kita adalah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mampu milik, mudah diakses dan disampaikan dengan penuh kepercayaan dan empati,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran MYMT 2026, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata empat hospital telah disenarai pendek dalam program Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) iaitu Institut Jantung Negara (IJN), Island Hospital, Mahkota Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre dengan pemenang akan diumumkan pada Disember 2025.
“Kejayaan mereka akan menjadikan hospital terpilih sebagai ‘duta’ penjagaan kesihatan Malaysia dan mercu tanda utama kepada pelancong kesihatan dari seluruh dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan cukai perkhidmatan (SST) enam peratus tidak menjejaskan daya saing sektor tersebut malah Malaysia kekal kompetitif berbanding negara serantau.
“Walaupun ada cabaran, semangat kita tinggi. Kita yakin masih mampu menarik pelancong kesihatan, terutama dari Indonesia, India dan China malah kita akan terus memperluaskan pasaran ke negara lain,” katanya.
MYMT 2026 merupakan inisiatif pertama yang dilancarkan oleh kerajaan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan kesihatan serantau dan global. – UTUSAN











