PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) mengukuhkan komitmen dengan menempah 20 lagi pesawat A330-900 daripada Airbus, menjadikan jumlah keseluruhan pesawat A330neo yang akan dikendalikan menjadi 40 buah.
Tempahan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi ke Perancis, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor penerbangan dan teknologi.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pesawat A330neo itu memberikan keseimbangan yang tepat antara kecekapan operasi, jarak penerbangan dan keselesaan kabin untuk menyokong rangkaian dan strategi pertumbuhan.
Katanya, kecekapan penggunaan bahan api dan fleksibiliti bagi laluan serantau menjadikan pesawat tersebut bersesuaian dengan keperluan pasaran yang sedang berkembang.
“Ia juga membolehkan kami menawarkan produk yang selari dengan penjenamaan premium iaitu ringkas, moden dan direka dengan mengambil kira keselesaan penumpang.
“Tempahan tambahan ini mengukuhkan visi jangka panjang kami untuk membina armada masa hadapan yang menyokong pertumbuhan mampan, memberikan nilai konsisten kepada penumpang dan memperkukuh daya saing di pasaran utama,” katanya dalam satu kenyataan.
MAG pertama kali memilih A330neo pada tahun 2022 di bawah program pembaharuan armada pesawat badan lebar dengan komitmen awal untuk 20 buah pesawat.
Menampilkan susun atur kabin premium baharu sepenuhnya, pesawat itu kini beroperasi dalam perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Melbourne, Auckland dan Bali.
Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif Jualan bagi Bahagian Pesawat Komersial Airbus, Benoît de Saint-Exupéry berkata, tempahan ulangan itu membuktikan keyakinan terhadap prestasi dan kecekapan A330neo.
“Kami berbangga dapat mengukuhkan lagi hubungan kami dengan Malaysia Aviation Group sewaktu mereka memperluaskan armada A330neo.
“Tempahan ulangan ini merupakan satu pengiktirafan kukuh terhadap prestasi cemerlang, kecekapan bahan api, kepelbagaian fungsi dan keselesaan penumpang yang ditawarkan oleh A330neo.
“Ia bukti kepada populariti pesawat ini dalam kalangan syarikat penerbangan premium di seluruh dunia,” katanya.
Dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 generasi terkini, A330-900 mampu terbang sejauh 7,200 batu nautika /13,300 kilometer tanpa henti.
A330neo menampilkan kabin Airspace yang memenangi anugerah, menawarkan pengalaman unik kepada penumpang dengan tahap keselesaan, suasana dan reka bentuk yang tinggi.
Ia termasuk ruang individu yang lebih luas, ruang bagasi atas yang diperbesar, sistem pencahayaan baharu serta akses kepada sistem hiburan dan sambungan dalam penerbangan yang terkini. – UTUSAN