BERAT ujian yang dihadapi aktor, Zamarul Hisham apabila tiga kali berdepan serangan jantung antara Februari hingga April lalu.
Pengalaman ‘gelap’ itu membuka mata beliau tentang kepentingan menjaga kesihatan dan merubah sepenuhnya gaya hidup hariannya.
Zamarul bagaimanapun tidak membenarkan ketakutan terus menguasai. Beliau tidak menjadikan masalah kesihatan sebelum ini sebagai kekangan untuk mencabar kemampuan diri dalam lakonannya.
Malah pelakon berusia 54 tahun ini sedia mempersiapkan diri untuk terus menyambut tawaran melakonkan babak aksi yang mencabar ketahanan fizikal.
“Saya pernah maklumkan kepada pihak Skop Productions, berilah saya babak lasak kalau sekiranya filem Blood Brothers disambung. Tetapi mereka seakan keberatan kerana risaukan keadaan saya.
“Saya bertanyakan perkara ini kepada doktor, katanya tiada masalah saya lakonkan babak lasak cuma kena pastikan saya benar-benar pulih selepas pembedahan (memasukkan stent).
“Dan saya perlu tinggalkan tabiat negatif seperti gaya pemakanan tidak sihat dan merokok. Kena ubah cara hidup kepada yang lebih sihat.
“Lima bulan saya ambil untuk berehat. Sekarang saya kembali bersenam di gimnasium, tinggalkan tabiat merokok serta pemakanan tidak sihat,” katanya yang sedang membuat persiapan untuk memulakan penggambaran filem The Furious terbitan Adrian Teh.
Zamarul menerusi filem tersebut bakal melakonkan watak jurulatih sukan tinju.
DADA IBARAT DIHIMPIT, DIPULAS
“Kalau digambarkan tahap kesakitannya, saya nilaikan 11.”
Demikian gambaran Zamarul yang menceritakan pengalamannya menghadapi serangan jantung.
Katanya, serangan itu adalah kesakitan paling menderitakan yang dirasai sepanjang hidupnya.
“Simptom pertama yang saya alami adalah kebas tangan. Keputusan ujian angiogram mendapati terdapat saluran darah tersumbat justeru saya perlu menjalani pembedahan memasukkan stent untuk melancarkan peredaran darah.
“Tapi selepas pembedahan, saya tak jaga pemakanan dan masih merokok serta hisap vape. Akibatnya pada April saya mengalami simptom lain pula iaitu dada seperti dihimpit dan macam dipulas setiap kali selepas bangun tidur.
“Keputusan ujian angiogram kedua mendapati ada lagi saluran darah yang tersumbat justeru saya perlu sekali lagi menjalani prosedur memasukkan stent pada saluran darah berkenaan.
“Alhamdulillah, sekarang keadaan saya okey dan sudah memulakan senaman di gimnasium. Saya juga sudah tinggalkan tabiat merokok, tidak lagi minum dan makanan bergula dan amalkan senaman secara berkala termasuk berjalan kaki,” jelasnya.
Ibarat menerima peluang kedua, Zamarul bersyukur kerana masih diberi kudrat dan kekuatan untuk meneruskan hidup seperti biasa.
“Doktor sarankan saya supaya kongsi pengalaman ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit jantung.
“Kita mungkin tak ambil langkah berjaga-jaga kerana belum alami sebarang petanda. Tapi sebaiknya buatlah pemeriksaan untuk mengetahui tahap kesihatan jantung kita.
“Kalau sumbatan pada saluran darah parah, tak ada jalan lain selain melakukan prosedur memasukkan stent atau balon sebagai rawatan,” kongsinya.-UTUSAN