KUALA TERENGGANU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan beberapa cukai baharu yang bermula bulan ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Faiz Zulkifli berkata, pelbagai faktor termasuk kenaikan harga barangan asas, gangguan bekalan global dan ketidaktentuan politik menyebabkan rakyat dibebani isu kewangan.
Katanya, sejak awal tahun, harga barang keperluan asas bukan kawalan menunjukkan peningkatan mendadak.
“Faktor global seperti gangguan rantaian bekalan, perubahan iklim dan ketegangan geopolitik hanya menambah kesan kepada pasaran tempatan. Ramai keluarga bukan sahaja mengurangkan kehendak, malah terpaksa memotong perbelanjaan keperluan seperti makanan, pendidikan anak-anak dan kesihatan kerana kekangan kos sara hidup,” katanya hari ini
Mohd Faiz yang juga Yang Dipertua ( YDP) MTPN Terengganu berkata, kerajaan seharusnya lebih peka terhadap realiti yang dihadapi golongan B40 dan M40 serta mengelakkan pelaksanaan dasar secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan jangka panjang.
“Kerajaan sepatutnya menambah baik subsidi bersasar, menetapkan harga siling ke atas barangan asas selain meningkatkan penguatkuasaan kawalan harga di pasaran.
“Perniagaan tempatan juga perlu diberi insentif untuk menawarkan harga yang lebih kompetitif dalam memastikan rakyat tidak terus terbeban,” katanya. – UTUSAN











