Majlis Alumni Belia medium kesinambungan tenaga muda pasca 30 tahun - Utusan Malaysia

Majlis Alumni Belia medium kesinambungan tenaga muda pasca 30 tahun

ZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan had umur belia kepada 30 tahun bermula tahun hadapan dilihat membuka keperluan baharu bagi kerajaan mewujudkan Majlis Alumni Belia sebagai medium kesinambungan sumbangan generasi muda pasca 30 tahun dalam pembangunan dasar negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, ramai pemimpin belia yang bakal melepasi kelayakan usia tahun hadapan masih mempunyai kapasiti, tenaga dan kepakaran yang wajar dimanfaatkan secara lebih tersusun menerusi satu badan berstruktur.

Katanya, penubuhan Majlis Alumni Belia dapat menyelaras peranan mereka secara kolektif selain membantu kerajaan menangani isu-isu semasa belia seperti pengangguran, pendidikan serta penyertaan dalam proses politik dan pembangunan masyarakat.

“Selama ini alumni bergerak secara bersendirian melalui pertubuhan masing-masing. Dengan kewujudan majlis ini, ia dapat memudahkan penyelarasan dan berperanan dalam membantu kerajaan serta masyarakat.

“Golongan alumni juga merupakan aset penting kerana sudah berpengalaman sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan, khususnya dalam membawa suara serta aspirasi golongan belia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Izzat Afifi, momentum itu perlu dikekalkan dan disusun dengan lebih kemas agar tidak hilang begitu sahaja hanya kerana had umur yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Namun, katanya, majlis tidak boleh terlalu terikat dengan mana-mana fahaman politik kerana pergerakan belia secara tradisinya lebih dekat dengan sifat non-politikal dan inklusif.

“Sekiranya terlalu berpaksikan politik, ia bukan sahaja gagal menarik minat penyertaan, malah akan mencemarkan imej majlis itu sendiri. Perkara seperti ini perlu dielakkan.

“Majlis juga mestilah diterajui oleh individu yang berwibawa, terbuka terhadap pandangan generasi baharu dan konsisten memperjuangkan isu-isu semasa yang dekat dengan kehidupan belia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN