Mahkamah perintah permohonan perceraian Zehra, suami diselesaikan Hakam Islah - Utusan Malaysia

Mahkamah perintah permohonan perceraian Zehra, suami diselesaikan Hakam Islah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat memerintahkan keputusan perceraian membabitkan penyanyi, Zehra Zambri dan suami, Nur Mohd. Iqwan Samsudin diselesaikan melalui Hakam Islah iaitu lantikan Hakam yang ditentukan oleh pihak mahkamah.

Menurut peguam mewakili Zehra, Abd. Muiz Samsuri berkata,proses perbicaraan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) hari ini, mahkamah telah mensabitkan berlakunya syiqaq iaitu pergaduhan berterusan antara Zehra dan suami.

“Mahkamah telah mensabitkan bahawa adanya Shiqaq antara klien saya, Zehra, dan defenden. Jadi atas dasar itu, mahkamah telah menetapkan untuk perlantikan Hakam Islah kali pertama yang akan ditetapkan pada 13 Ogos hadapan.

“Hakam Islah sepatutnya keluarga manakala satu lagi Hakam lantikan mahkamah. Walau bagaimanapun sebentar tadi mahkamah telah menetapkan Hakam Islah adakah lantikan daripada mereka (mahkamah) yang profesional,” kata peguam ketika ditemui di Mahkamh Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.

Menurut Abd. Muiz, pihak defenden juga meminta Zehra untuk menggugurkan beberapa tuntutan yang pernah difailkan membabitkan keganasan rumah tangga dan nafkah, namun pihak Zehra menolak permohonan tersebut.

“Pihak kami tidak bersetuju dengan permintaan defenden. Alasan itulah yang membuatkan klien saya, Zehra, hadir ke mahkamah untuk membuat permohonan perceraian.

“Bagi kami alasan itu adalah penting. Sekali lagi, pihak kami tidak bersetuju dengan beberapa perenggan pengguguran pada permohonan tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, pihak mahkamah memutuskan kedua-duanya iaitu Nur Muhd Iqwan dan Zehra untuk melantik wakil masing-masing bagi proses JKP namun tiada kata putus dicapai membuatkan kes ditangguhkan hari ini.

Pada 7 Mac lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya, Nur Muhd Iqwan selepas mendakwa lebih tiga tahun mempertahankan rumah tangga mereka.

Untuk info, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia dua tahun setengah.

Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.

Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN