SAYA harus akui berasa tergoda di lima minit pertama filem ini yang cuba membuka M3GAN 2.0 dengan satu lagi ciptaan robotik dilengkapi kecerdasan buatan (AI) tingkat tinggi bernama Amelia.
Robot Amelia dihasilkan dengan menyalin semula kecanggihan robotik M3GAN dua tahun lalu, namun bagi tujuan ketenteraan. Pendek kata, Amelia adalah senjata era baru, bukan dron, bukan peluru berpandu mahupun bom.
Dia ditempatkan di situasi paling tegang antara dua negara. Tapi entahlah kod apa yang salah, Amelia mula melawan tuan dan mahu mengakhiri nyawa siapa yang dia mahu.
Oleh sebab situasi makin memburuk, Gemma (Allison Williams) akhirnya merasakan hanya AI yang mampu melawan AI, maka M3GAN yang selama ini tinggal dalam cloud computing diseru kembali, diberikan tubuh untuk beradu tenaga dengan Amelia.
Amelia mengingatkan saya dengan kajian mengenai bagaimana AI dilihat bakal menjadi senjata penting ketenteraan abad ini. Sejak 1940-an minat kepada AI sudah semakin berkembang.
Namun keupayaan teknologi yang semakin pantas kerana beberapa faktor seperti gabungan big data dan cloud computing, AI dijangka boleh menghasilkan pembelajaran seperti otak manusia.
Sebenarnya hari ini sudah banyak negara telah mengguna pakai AI dalam ketenteraan mereka baik Amerika Syarikat, China, Israel hingga Rusia. Cuma kita tidak tahu secanggih mana ciptaan mereka.
Apa yang pasti mereka mempunyai sistem robotik bagi menyokong data jarak, simulasi pertempuran, juga proses data. Dalam kata lain, tidak mustahil jika Amelia dilihat produk senjata gaya baru.
Namun begitu, entahlah, keterujaan saya tentang AI dan senjata perlahan-lahan mati seiring filem ini berjalan. Sebagai orang yang menonton juga meminati filem pertama M3GAN, sekuelnya terasa hilang sakti.
Saya tidak pasti apa dalam fikiran sutradara Gerard Johnstone ketika membuat keputusan mengubah keseluruhan genre filem ini dari thriller sci-fi kepada aksi sci-fi.
Mungkin sahaja kehilangan James Wan daripada pasukan penulis skrip begitu terasa, tapi saya percaya kita semua menyukai M3GAN kerana thriller bukannya gaya aksi lawak hambar ala Mission Impossible versi Shopee.
Tapi kalau niat filem ini dibikin untuk menyindir filem aksi itu, okay, tapi masih kurang terasa. M3GAN 2.0 masih menekankan soal etika, rasa percaya dan betapa bahaya jika data penting manusia jatuh ke tangan orang yang salah.
Namun cara pembawakan perbahasan itu ke dalam filem ini terasa begitu kaku, sama seperti lakonan beberapa pelakonnya.
Tidak mudah menyambung semula sebuah filem yang meledak ketika ditayangkan buat pertama kali. Tapi setidaknya M3GAN 2.0 cuba melaksanakannya, cuma hasilnya begitu-begitu saja.