Loji jana kuasa biojisim guna alga mikro di Kimanis

Loji jana kuasa biojisim guna alga mikro di Kimanis

PHOONG Jin Zhe (tengah) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah bakal mempunyai sebuah loji jana kuasa biojisim yang menggunakan alga mikro untuk menghasilkan bahan api bio dan menjana tenaga hijau di Sabah Agro-Industrial Precinct (Saip), Kimanis.

Ia selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun di antara Saip Sdn. Bhd. dan CCE Power Holdings Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja mampu menghasilkan biojisim untuk penjanaan tenaga tetapi juga bahan api bio, bioplastik dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Katanya, projek berkenaan akan bermula dengan keluasan 40 hektar dan jika berjaya ia akan  dibawa ke peringkat komersial

Tambah beliau, kerajaan negeri tidak akan menanggung sebarang komitmen daripada segi tanah ataupun pembiayaan bagi projek ini.

“Projek ini selaras dengan agenda pembangunan mampan dan hijau negara ke arah perlepasan karbon sifar, serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui produk yang lumayan.

“Jika kita boleh membina satu hab penghasilan alga mikro di Sabah, anak-anak muda kita akan mendapat peluang pekerjaan dan penyelidik-penyelidik kita boleh belajar teknologi baru.

“Kita harus memanfaatkan peluang inovasi ini untuk melonjak negeri kita ke depan,” katanya selepas menyaksikan majlis MoU tersebut hari ini.

Pengarah CCE Power Holdings Sdn. Bhd.,  Tham Weng Kong berkata, mereka akan menjadi syarikat pertama di Malaysia memanfaatkan sistem tangki tertutup untuk penanaman alga mikro.

Katanya, pihaknya menggunakan teknologi heterotropik yang tidak memerlukan cahaya matahari untuk penanaman, berbanding dengan di Sarawak yang menggunakan kaedah fotosintesis.

Selain daripada itu, beliau berkata bahawa mereka hanya memerlukan lima hari sehingga satu minggu untuk menuai alga, pengeringan, seterusnya menghasilkan produk bernilai tinggi seperti SAF. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN