Logo khas galak lebih ramai usahawan tunai zakat perniagaan

Logo khas galak lebih ramai usahawan tunai zakat perniagaan

MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) ketika menyampaikan plak Logo Rakan Muzakki Zakat MAINPP kepada usahawan di sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai usahawan membayar zakat perniagaan, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengambil inisiatif tersendiri apabila melancarkan logo khas yang dikenali sebagai Logo Rakan Muzakki Zakat MAINPP.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, logo itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori gangsa bagi usahawan yang membuat bayaran zakat sehingga RM5,000; kategori perak (bayaran sehingga RM49,999) dan kategori emas iaitu mereka yang membuat bayaran zakat melebihi RM50,000.

“Selain itu, kita juga menghargai para pembayar zakat melalui pemberian sijil atau plak yang boleh dipamerkan di premis perniagaan masing-masing umpama sijil logo halal.

“Dengan adanya logo khas ini, ia menunjukkan bahawa perniagaan mereka diiktiraf daripada segi halal yang meliputi proses pembuatan dan sebagainya sekali gus menggalakkan peniaga lain untuk turut menunaikan zakat perniagaan,” katanya kepada pemberita di Seberang Jaya di sini, petang semalam.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, kewujudan logo khas itu akan menambah keyakinan masyarakat sebagai pembeli sekali gus membantu meningkatkan keuntungan para peniaga.

Jelasnya, apabila keuntungan meningkat, para peniaga juga lebih berkemampuan untuk menambah pembayaran mereka dan wang zakat tersebut seterusnya dapat dikembalikan kepada umat Islam yang memerlukan seperti golongan fakir dan miskin.

“Untuk rekod, pembayar zakat muzakki (di Pulau Pinang) pada tahun ini lebih kurang 72,000 orang dan seperti yang kita sedia maklum, pembayaran zakat adalah dibuat berdasarkan nisab dan haul.

“Jika tahun lepas, 85 gram emas di Pulau Pinang bernilai RM24,000, namun, tahun ini nilai nisabnya pula adalah sebanyak RM31,000 bagi berat yang sama.

“Oleh itu, jumlah pembayar zakat dalam kalangan individu berkemungkinan akan berkurangan. Maka, kita sasarkan syarikat korporat untuk menunaikan zakat perniagaan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN